Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hospital Serdang pada 3 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

91 peratus kematian sebelum ke hospital tidak tahu dijangkiti Covid-19

SERDANG, 3 MAC: Kira-kira 91 peratus kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) membabitkan individu yang tidak mengetahui mereka dijangkiti Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia hasil analisa Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan 113 kes BID dalam tempoh 5 Februari hingga 21 Februari lepas.

“Kita lihat peningkatan kes BID iaitu mereka yang meninggal sebelum mendapat rawatan di fasiliti kesihatan, dan ia membimbangkan.

“Kita sudah buat analisa dalam tempoh tersebut dan mendapati 91 peratus tidak mengetahui mereka dijangkiti Covid-19…apabila KKM uji dan didapati positif,” katanya dalam sidang media perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khairy menasihatkan orang ramai terutama warga emas yang mempunyai gejala seperti demam dan batuk, untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Berdasarkan kajian yang KKM buat, lebih 50 peratus waris anggap sakit yang dialami mereka adalah sakit ringan dan tidak merujuk ke fasiliti kesihatan dengan cepat, dan apabila dikesan ia terlalu lambat,” katanya.

Mengenai pelaporan kematian akibat Covid-19, Khairy berkata bermula 1 Mac lepas, proses pelaporan kematian akibat Covid-19 diumumkan mengikut angka pelaporan yang diterima dari lapangan setiap hari.

“KKM telah menambahbaik proses pelaporan kematian. Sebelum ini, laporan kematian yang diterima hanya diumumkan setelah proses pendaftaran kes di peringkat negeri selesai dan ia mengambil masa yang agak panjang sebelum ia diumumkan.

“Oleh itu, terdapat sebilangan kes yang tertunda untuk diumumkan dan ini adalah satu daripada faktor yang menyumbang kepada tunggakan bagi pengumuman kes kematian Covid-19,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan ketepatan masa atau ‘timeliness’ pelaporan kematian Covid-19, kes kematian tidak lagi menunggu pendaftaran kes dan perlu dilaporkan dalam jangka masa 72 jam selepas kematian sebagaimana ditetapkan KKM.

Khairy dalam pada itu berkata penggunaan unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di paras terkawal dan KKM mempunyai 2,210 katil ICU yang boleh digunakan di seluruh negara.

“Kebanyakan kes ICU adalah mereka yang berisiko tinggi… setakat ini, terdapat 361 pesakit Covid-19 di ICU,” katanya.

-BERNAMA

 

 


Pengarang :