Keadaan sebuah rumah yang rosak akibat tanah runtuh di Kemensah Heights, Hulu Kelang pada 18 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNAGENDABERITA UTAMASELANGOR

ADN cadang pusat kawalan operasi dilengkapi fungsi pantau cerun bukit

SHAH ALAM, 15 MAC: Wakil rakyat Lembah Jaya mencadangkan agar pemantauan cerun bukit dimasukkan sebagai fungsi tambahan dalam Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) bagi mengelak insiden tidak diingini.

Menyambut baik pembangunan pusat kawalan pintar itu, Haniza Talha berharap cadangan itu dipertimbangkan selepas mengambil kira kadar taburan hujan yang tinggi sejak kebelakangan ini sehingga berlakunya tanah runtuh.

“Baru-baru ini kita menerima satu musibah di Taman Bukit Permai, Ampang yang mana ada kemalangan jiwa akibat runtuhan cerun. Jadi, ini antara perkara yang perlu diberi perhatian.

“Taburan hujan yang tinggi berbanding kebiasaan menyebabkan terlampau banyak air berada dalam tanah dan berlaku pergerakan sekiranya ada bangunan di atas tanah tersebut,” katanya.

Beliau membahas titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Semalam, tuanku bertitah penggunaan C5i sebagai pusat kawalan dan perintah utama untuk pengurusan bencana harus diperkasa dan diperluaskan keupayaannya.

Baginda bertitah ia termasuk penggunaan lebih banyak teknologi kawal perintah dan pemantauan secara automatik selain mengembangkan penggunaan infrastruktur digital ke setiap pejabat tanah dan daerah.

SSOC yang dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) siap sepenuhnya akhir 2020 dengan perbelanjaan RM6 juta.

Pusat kawalan itu berupaya beroperasi selama 24 jam dan dilengkapi jaringan internet berkelajuan tinggi sehingga tiga gigabit per saat (Gbps)

Ia merangkumi fungsi bersepadu antaranya arahan, kawalan, komunikasi, komputer, kolaborasi dan kerjasama.


Pengarang :