BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Hulu Kelang dampingi rakyat, lebih sedekad tabur bakti

Puluhan tahun Saari Sungib, wakil rakyat Hulu Kelang, bergiat dalam politik. Digelar Otai Reformasi, lulusan Universiti of Aston dan Universiti of Hull, United Kingdom ini banyak membawa suara rakyat.

Mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sejak 2008, beliau memanfaatkan peluang itu untuk menabur bakti. Meskipun tahap kesihatan terganggu, Saari tidak culas menjaga kebajikan penduduk.

Wartawan Norrasyidah Arshad menelusuri sebahagian perjalanan politik Saari selain memaparkan usaha dan bantuan buat penduduk DUN Hulu Kelang.

Pernah bergelar pensyarah sebelum ini, bagaimana YB boleh menceburi politik?

Saya merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UTM) Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Pada 1982, perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memilih saya ke Korea untuk buat program teknologi pandang ke timur beberapa kakitangan agensi kerajaan yang lain. Semasa itu, saya hanya pensyarah biasa berusia 26 tahun tetapi jiwa aktivis sangat kuat.

Saari membantu penerima sumbangan program Back To School mencuba pakaian di pasar raya AEON AU2 pada 13 Mac 2022

Saya aktif dalam pergerakan pelajar Islam untuk membawa pembaharuan sejak belajar di United Kingdom. Saya tubuhkan Jemaah Islamiah Malaysia (JIM) untuk membawa konsep rigid dan islah kerana mahukan pembaharuan dan perubahan untuk kebaikan masyarakat ke arah keadilan, kesaksamaan, universal dan keislaman. Saya merupakan presiden JIM selama 10 tahun, alhamdulillah dari situ saya mula terlibat dalam reformasi ketika peristiwa Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dipecat Mahathir.

Kenapa bermulanya dari situ?

Sebab isu dibawa Anwar ‘real’ berkenaan penindasan, rasuah, kesaksamaan dalam masyarakat dan kepincangan. Saya yakin dengan hujah-hujah dibawa Anwar. Hujahnya mantap dan berkesan, yang baik saya ambil dan serap. Bagi saya Anwar perlu dibela kerana dia dizalimi. Sekiranya individu yang 16 tahun menyertai badan kerajaan dan merupakan orang kedua dalam pemerintahan negara boleh dipukul, dibogelkan, ditumbuk, dianiaya, apatah lagi nasib rakyat biasa.

Semasa itu, suara masyarakat teragak-agak, jadi kita beri memorandum tuntas mewakili seluruh Malaysia. Saya hanya membantu sahaja dan saya lihat ketika itu PAS adalah peluang terbaik kerana turut membela Anwar. Saya lihat kepada isu-isu penting dan penentangan terhadap Mahathir atas kezaliman dibuat. Kita rasakan perlu ada parti baharu, jadi saya membantu PAS dan PKR (Parti Keadilan Rakyat). Saya fikir saya perlu sertai politik dan Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) bagi kerusi bertanding di DUN Hulu Kelang.

Selepas tiga penggal mendapat mandat, apakah perjuangan untuk penduduk Hulu Kelang?

Mula-mula isu yang dibawa ialah penduduk terbiar kerana tiada pembelaan untuk penduduk setinggan, peniaga mahupun ibu tunggal. Selepas memenangi pilihan raya umum (PRU) 2008, saya terus buat perhimpunan ibu tunggal yang disertai lebih 800 orang. Kita berdialog dan dapatkan pandangan mereka sebab faktor ekonomi paling penting. Kita buka peluang kepada mereka untuk buat pelbagai aktiviti menggunakan peruntukan DUN yang ada. Saya akan pastikan setiap sen itu dirasai setiap individu. Kita bantu mereka jana pendapatan, tidak biarkan mereka.

Saari hadir menyaksikan perlawanan badminton Piala Pusingan Dato’ Sri Amir di Pro One, Setapak pada 8 Februari 2022

Kalau diberi peluang mentadbir kerajaan persekutuan mungkin kita boleh jana ekonomi lebih bagus. Saya dapati dalam konteks ini perjuangan dibawa jika jadi kerajaan perlu tulen. Paling penting kita perlu menjaga amanah bukan untuk diri sendiri. Saya sendiri sudah terbiasa dengan berjuang tanpa bayaran, kejujuran dan keikhlasan jadi kebiasaan. Ini proses yang baik, perlu tanamkan semangat ini untuk anak muda yang sertai politik supaya bina rakyat bukan untuk diri sendiri.

Apakah dasar yang diamalkan untuk mendekati penduduk setelah lebih sedekad berkhidmat?

Saya mudah ditemui kalau penduduk mahu jumpa. Pendekatan ini sangat berkesan dan diamalkan sejak 2008. Saya tidak pernah tidak angkat telefon bila dihubungi. Mereka tidak perlu cari saya tetapi saya yang cari mereka. Saya harapkan pengganti saya nanti akan amalkan konsep ini. Mudah untuk masyarakat bertemu, mengadu jika ada masalah.

Maknanya YB tidak bertanding pada PRU akan datang?

Saya tidak anggap kerusi DUN ini untuk saya, bukan kerusi keluarga saya. Ini cuma kesinambungan yang saya mahu untuk wakil rakyat akan datang. Saya letakkan label tinggi kepada bakal pengganti saya. Dalam menjalankan tugas membantu masyarakat, saya juga minta tolong anak. Pegawai disediakan tidak cukup jadi gunakan anak untuk bantu saya. Hikmahnya saya menang dalam saman isu ISA (Akta Keselamatan Dalam Negara) dan gunakan duit RM1 juta untuk gajikan anak yang membantu. Anak saya bekerja dalam bidang profesional. Ada yang jurutera, jadi mereka gunakan ilmu dan pengalaman untuk diaplikasikan kepada kebajikan masyarakat. Mereka juga dekatkan diri dengan belia dengan menyusun program bersesuaian, jadi sukarelawan bersama kawan-kawan. Mereka dekatkan diri dengan masyarakat.

Di sini ada sekitar 47,000 pengundi berdaftar ketika PRU14. Saya menang majoriti hampir 16,000. Untuk bertanding pada PRU akan datang, saya serahkan kepada keputusan parti. Kita hormati pandangan rakyat, jadi terserah pada parti. Cuma saya akan pastikan kerja saya sebaik mungkin. Saya serahkan kepada parti namun akan pastikan pengganti saya menang.

Beralih pula kepada dasar Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Berapakah jumlah penerima skim ini di kawasan YB?

Anggaran dalam 7,000 hingga 8,000 penerima. Tidak ramai merungut tidak dapat bantuan cuma bising jika bantuan lambat. Sini kos sara hidup tinggi, jadi penduduk sini banyak buat inisiatif sendiri sebab perlu tanggung banyak benda. Mereka banyak berusaha di samping kita bantu dan beri galakan.

Bagaimana agihan bantuan ketika pandemik?

Selain menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri dan agihan bakul makanan, saya keluarkan belanja sendiri sebanyak RM100,000 untuk tampung kes kecemasan. Sebagai contoh, tiba-tiba ada yang tidak dapat bantuan dan sangat memerlukan bantuan, jadi dengan nilai itu kita beli bakul makanan RM50 setiap satu. Apabila terdesak, kita gunakan bakul ini bantu mereka yang susah. Kita bantu semua tanpa kira bangsa atau warganegara. Ada juga kita guna peruntukan zakat untuk hulur sumbangan kepada mereka. Mereka juga manusia, lagipun Covid-19 merupakan pandemik dan wabak. Jadi kita bantu semua tanpa mengira

Saari beramah mesra dengan penduduk kerik majlis penyampaian sijil dan tali pinggang kepada ahli Persatuan Seni Silat Setiabakti Malaysia di gelanggang Kesumat AU4 Taman Seri Keramat Tengah pada 26 Mac 2022

sebarang faktor.

Mereka akan datang ke pejabat atau jumpa sukarelawan untuk mendapatkan bantuan. Kita turut sediakan bantuan semburan nyahkuman. Kita sendiri ada pasukan sukarelawan dan pertama di Malaysia yang dilatih untuk berdepan bencana sebelum Covid-19 menular dalam negara. Kita adakan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan penduduk juga sambut baik inisiatif ini. Saya suka membaca, jadi banyak maklumat berkenaan penyakit-penyakit berjangkit di luar negara Afrika. Ada berita mengenai virus berbahaya ini. Dari situ saya rasa kena bersedia awal dan tubuhkan pasukan sendiri antara lapan hingga 12 ahli terlatih. Sampai sekarang sukarelawan ini masih berkhidmat termasuk ketika menghulurkan bantuan banjir dan program vaksin.

Menyentuh isu banjir kilat, kawasan mana di Hulu Kelang yang sering terjejas?

Kawasan berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sering terkesan manakala Kampung Fajar, Melawati pula saliran tersumbat kerana longkang rendah dari paras sungai. Sepatutnya ada satu projek pembentungan sisa kumbahan di situ tetapi dibatalkan. Ini projek kerajaan persekutuan sejak 2014 dan jangka selesai 2018, namun sehingga 2020 masih tidak selesai dan terus dibatalkan. Ahli Dewan Negeri yang kena marah dengan penduduk tetapi saya ambil langkah terangkan kepada mereka. Jelaskan segalanya. Kalau kerja ini bawah saya, saya akan pastikan siap. Saya akan terus perjuangkan isu ni di Dewan Negeri Selangor untuk pastikan kebajikan rakyat terpelihara. Saya akan tuntut masalah lubang yang dikorek ini diatasi. Projek belum habis tetapi duit sudah habis. Isu setinggan Kampung Fajar juga tidak selesai. Ini juga saya akan perjuangkan walaupun jumlah pengundinya sikit, semua untuk rakyat.

YB aktif menulis. Setakat ini berapa banyak karya dihasilkan?

Dari 1984 saya sudah menulis 68 buku. Saya memang minat membaca. Ketika ditahan dalam penjara bawah ISA saya dapat siapkan 12 buku. Tidak lama lagi saya keluarkan buku berjudul Menuju Puncak Reda. Saya sukakan buku berbentuk perjuangan. Saya menulis kerana mahu membantu pembaca menyelami kisah pejuang-pejuang.

Keadaan kesihatan YB kurang memuaskan, apakah langkah diambil supaya tidak menjadikan isu ini halangan untuk berbakti kepada rakyat?

Ya, dulu saya mampu berlari setiap petang. Sekarang walaupun tidak berapa aktif namun rakan-rakan ada. Saya gunakan mereka dan anak muda dengan meletakkan mereka dalam kumpulan persatuan penduduk. Mereka ini akan meronda-ronda, bantu saya pantau. Saya berikan mereka sedikit elaun. Mereka banyak membantu saya.


Pengarang :