Mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 23 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN pembangkang hargai usaha Selangor bantu mangsa bah, pulih kemudahan rosak

SHAH ALAM, 16 MAC : Wakil rakyat Sementa menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri memperuntukan RM118 juta kepada mangsa banjir menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Daroyah Alwi berkata bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bah yang melanda Selangor pada Disember lalu.

“Sementa turut mengalu-alukan Kerajaan Negeri membelanjakan RM519.42 juta untuk pemulihan infrastruktur yang rosak akibat banjir seperti kerja mengorek dan mendalamkan sungai dan membina serta baik pulih ban.

“Diharap kerja itu dapat dilaksanakan segera sebelum terjadi lagi fenomena banjir besar di negeri ini yang kita tidak tahu bila akan berlaku. Kita mahu agar Kerajaan Negeri sentiasa bersiap sedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sebelum ini, baginda bertitah kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu mengetepikan perbezaan fahaman politik serta dapat bekerjasama menangani masalah banjir di Lembah Klang.

Tegas tuanku, langkah itu bagi memastikan rakyat yang terlibat tidak menanggung penderitaan yang teruk dan trauma setiap kali berlaku musim hujan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

 


Pengarang :