Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan Majlis Penanaman Pokok Ceri Terengganu oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di perkarangan Istana Negara. Penanaman pokok itu sebagai simbolik sultan Terengganu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 pada 9 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong berangkat hadir hari kedua mesyuarat Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR, 10 MAC:  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 di Istana Negara.

Mesyuarat yang bermula semalam itu dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mesyuarat kali ini berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 24 Nov dan 25 Nov 2021, yang dipengerusikan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Selain itu, turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir pada mesyuarat itu.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Premier.

— BERNAMA

 


Pengarang :