Kakitangan Air Selangor menjalankan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 13 Oktober 2021 . Foto Facebook Air Selangor
AGENDAEXCOSELANGOR

Air Selangor: Pelan tindakan dirangka elak loji rawatan terjejas ketika bah

SHAH ALAM, 18 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merangka beberapa pelan tindakan bagi memastikan operasi loji rawatan air (LRA) tidak terjejas ketika banjir.

EXCO infrastruktur berkata tindakan itu termasuk mengubah kedudukan panel pemula dan pemacu penegak ke kawasan lebih tinggi supaya dapat mengelak motor mesin ditenggelami air.

“Untuk pelan jangka panjang pula Air Selangor akan melantik jurutera perunding untuk menilai semua reka bentuk muka sauk dan menambah baik loji yang berisiko banjir.

“Kajian dan kerja (penambah baikan) dilaksanakan semua pihak berkaitan antaranya Lembaga Urus Air Selangor serta Jabatan Pengairan dan Saliran penting bagi menyelesaikan masalah ini,” kata Ir Izham Hashim di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Banjir pada Disember tahun lalu menyebabkan operasi LRA Cheras Batu 11, Langat 2 dan Sungai Langat terpaksa dihentikan selepas ditenggelami air.

Jelas Izham, sampah yang memenuhi kawasan muka sauk stesen air mentah Sungai Langat turut menyebabkan ia tidak boleh beroperasi dengan kapasiti penuh.

“Berkenaan kejadian henti tugas LRA Langat 2 dan muka sauk Semantan, Pahang pada 19 Disember ia adalah akibat penutupan bekalan elektrik disebabkan kejadian banjir di Karak,” katanya.

 


Pengarang :