Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap larangan merokok di premis makanan dan akan mengambil tindakan secara tegas menerusi penguatkuasaan tersebut. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Akta baharu larang aktiviti merokok dibentang Julai ini

SEPANG, 26 MAC: Akta baharu bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005, akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen Julai ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata rang undang-undang (RUU) tersebut sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Saya rasa dalam tempoh satu ke dua minggu ini dah selesai dan boleh saya bentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Teknologi,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Khairy pada 17 Februari lepas mengumumkan pengenalan akta tersebut bertujuan mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.

Terdahulu, semasa berucap Khairy berkata pengenalan akta baharu berkait dengan rokok ini merupakan satu daripada usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memperhebat kempen berhenti merokok dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya akan bawa satu undang-undang supaya ia adalah kesalahan undang-undang untuk menjual rokok kepada sesiapa yang lahir selepas 2005.

“Memang penguatkuasaan akan menjadi cabaran. Tiada apa yang dapat menghentikan dia untuk minta orang dewasa beli rokok untuk dia atau orang yang lahir sebelum 2005.

“Tapi saya rasa ini adalah langkah yang pertama ke arah kita menamatkan rokok kepada satu generasi yang menjadi ‘generational end game’,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :