Kenderaan terperangkap dalam banjir kilat di sekitar Jalan Kia Peng berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Amaran hujan lebat, angin kencang di Lembah Klang hingga 2 pagi

SHAH ALAM, 17 MAC : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Selangor,  Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2 pagi ini.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan ramalan cuaca itu turut melibatkan Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang  (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong) serta Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson).

Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang juga melibatkan Sarawak (Pakan, Julau, Belaga, Bintulu, Miri dan Limbang) serta Sabah (Sipitang, Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan) 

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :