Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan air laut turut bergelora. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Amaran ribut petir, hujan di Selangor dan negeri lain hingga 5 petang

SHAH ALAM, 7 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga jam 5 petang ini.

Agensi itu dalam pengumuman di Facebook berkata, daerah terbabit di Selangor adalah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Amaran yang sama turut dikeluarkan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putajaya; Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau di Negeri Sembilan serta Alor Gajah, Melaka.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

 

 


Pengarang :