Pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terpaksa meredah banjir berikutan hujan lebat berterusan ketika tinjauan Selangorkini di Persiaran Jubli Perak Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Amaran ribut petir, hujan lebat di Selangor dan negeri lain hingga 9 malam

SHAH ALAM, 3 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan negeri termasuk Selangor sehingga 9 malam ini.

Menurut maklumat menerusi Facebook agensi itu, amaran dikeluarkan menjangkakan keadaan tersebut berlaku di semua daerah di negeri ini.

Ramalan sama melibatkan hampir semua kawasan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Labuan.

Manakala di Perak meliputi Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).

Sarawak pula di Kuching (Bau dan Kucihng, Serian, Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang) manakala Sabah (Pedalaman (Sipitang dan Tenom)).

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :