Penerima anugerah khas menunjukkan sijil anugerah diterima selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSJ 2021 di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam pada 25 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Anggota skuad Pantas MBSJ syukur dihargai, terus bersemangat bantu masyarakat

SHAH ALAM, 26 MAC: Anggota Skuad Pasukan Tindak Segera (Pantas) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersyukur dengan penghargaan diterima semalam dan menjadi pendorong untuk terus membantu orang ramai dalam kesusahan.

Muhamad Na’aaim Ramli berkata ia merupakan anugerah pertama diterima sejak enam tahun berkhidmat di pihak berkuasa tempatan tersebut dan menyertai skuad berkenaan.

“Alhamdulillah terima kasih kepada MBSJ yang menghargai penat lelah skuad Pantas dalam menyelamatkan mangsa banjir lebih 30 jam ketika tragedi bah Disember tahun lalu.

“Dengan anugerah ini ia menyuntik semangat untuk kami terus berkhidmat dan membantu mereka dalam kesukaran,” katanya kepada SelangorKini.

Berkongsi detik cemas ketika banjir tahun lalu, Muhamad Na’aaim berkata pengalaman tersebut masih segar dalam ingatan apabila dia perlu bertugas menyelamatkan nyawa ramai mangsa tetapi kediamannya sendiri dilanda banjir.

Penerima anugerah khas Muhamad Na’aim Ramli bercakap kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSJ 2021 di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam pada 25 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ketika itu isteri buat panggilan video tunjuk rumah kami dinaiki air paras pinggang, saya segera meminta dia serta dua anak kami berusia tiga dan empat tahun berpindah ke rumah mertua di Puchong Perdana.

“Bimbang juga kerana anak masih kecil tetapi demi tugas alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Saya dan rakan berjaya menyelamatkan kira-kira 80 mangsa yang terkandas di empat kawasan sekitar Subang Jaya,” katanya.

Semalam, seramai lima anggota skuad Pantas MBSJ menerima pengiktirafan khas dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSJ 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Datuk Bandar Dato’ Johary Anuar menyampaikan anugerah kepada semua penerima.


Pengarang :