Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah ketika menanam pokok pada majlis pra pelancaran penghijauan malaysia Koperasi Prihatin Sejuta Pokok di Hutan Simpan Sungai Lalang, Hulu Langat hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Angkasa: Sasar tanam sejuta pokok, sokong agenda penghijauan

HULU LANGAT, 20 MAC: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) komited dalam menjayakan agenda Penghijauan Malaysia dengan menanam sejuta pokok menerusi Program Koperasi Prihatin Sejuta Pokok.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya melalui kerjasama koperasi dan rakan strategik Institut Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan merealisasikan agenda itu dalam tempoh dua tahun bermula tahun ini.

“Melalui program ini, ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan, mahu penglibatan jitu dan usaha kolektif 14,657 koperasi dengan keanggotaan 7.1 juta orang melaksanakan usaha penanaman pokok secara berterusan.

“Ini seiring dengan matlamat Pembangunan Mampan 2030 yang melengkapi keperluan sosial manusia, ekonomi, pendidikan, kestabilan politik dan keprihatinan terhadap alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis prapelancaran Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok yang memperlihatkan penanaman 312 pokok hutan pelbagai spesies di tapak Hutan Simpan Sungai Lalang yang terosot berkeluasan setengah hektar, di sini hari ini.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Prof Datuk Dr Aishah Salleh yang turut hadir berkata program berkenaan amat penting kerana pokok dan ekosistem hutan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

“Bencana alam seperti banjir melanda dengan skala kemusnahan yang berbeza kerana lebih kerap berlaku dan membabitkan kawasan yang luas. Perubahan Iklim yang semakin memberikan kesan yang buruk mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.

“Justeru usaha penanaman pokok, pengekalan hutan dan penghutanan semula merupakan salah satu langkah untuk menangani kesan perubahan iklim dan secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko bencana alam,” katanya.

Pada majlis itu, Aishah turut menanam pokok merbau yang merupakan pokok kebangsaan negara dan pokok ke-100 sebagai simbolik kepada sambutan 100 tahun gerakan koperasi.

Tapak Hutan Simpan Sungai Lalang juga adalah kawasan kajian rintis UKM yang akan membuat pemantauan dan pengukuran karbon yang disimpan di dalam tanah selain rekod kemajuan dan tumbesaran pokok di kawasan hutan terosot.

– BERNAMA


Pengarang :