EXCO Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud ketika merasmikan majlis penutup Simposium AnIS semalam.
AGENDABERITA UTAMAEXCOSELANGOR

AnIS latih guru pendidikan khas bantu anak OKU berdikari

KLANG, 30 MAC: Seramai 2,500 guru pendidikan khas bakal menerima latihan dan kursus dalam program Simposium Anak Istimewa Selangor (AnIS) bagi mendidik anak-anak kurang upaya (OKU) berdikari.

EXCO Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif menerusi Didik AnIS itu diadakan secara berperingkat dan ia bermula semalam membabitkan 100 guru.

“Simposium melibatkan tenaga pengajar dari universiti dan agensi yang berpengalaman mendidik anak OKU. Mereka melatih peserta dengan lebih lanjut.

“Didik AnIS adalah persediaan pada masa akan datang memandangkan kesedaran ibu bapa berkenaan pendidikan anak OKU ini semakin tinggi,” katanya selepas merasmikan program itu di sini.

Dr Mariah berkata program berkenaan menekankan ilmu pembelajaran asas bagi membentuk sikap berdikari dalam diri anak-anak OKU.

“Simposium ini diadakan sejak 2018 dan ia adalah program tahunan khas untuk anak OKU. Bagaimanapun ia terhenti tahun lalu kerana penularan pandemik,” katanya.

Terdahulu, menerusi Belanjawan Selangor 2022 Kerajaan Negeri memperuntuk RM3 juta bagi melaksanakan inisiatif membantu anak istimewa bawah Jabatan Anak Istimewa Selangor.

Antara usaha dilaksanakan adalah menubuhkan Akademi AnIS selain memberi bantuan kewangan untuk menjayakan program Didik AnIS.


Pengarang :