Pengerusi Kebangsaan DAP yang baharu Lim Guan Eng (dua, kiri) bersama Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo (dua, kanan) dan Setiausaha Agung DAP yang baharu Anthony Loke Siew Fook (tengah) bergambar selepas Kongres Ke-17 Parti Tindakan Demokratik (DAP) di IDCC Shah Alam hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anthony Loke setiausaha agung baharu DAP, Guan Eng kini pengerusi

SHAH ALAM, 20 MAC: Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook hari ini dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu menggantikan Lim Guan Eng yang dipilih sebagai Pengerusi Kebangsaan dalam pemilihan sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di sini.

Loke, yang sebelum ini Setiausaha Penganjur Kebangsaan DAP, menggantikan Guan Eng yang tidak boleh dipilih semula untuk jawatan tersebut pada pemilihan kali ini kerana perlembagaan parti itu hanya membenarkan seseorang memegang jawatan setiausaha agung selama tempoh maksimum tiga penggal.

Bekas menteri pengangkutan itu terdahulu dipilih menggangotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selepas meraih 1,625 undi manakala Guan Eng memperoleh 1,311 undi.

Keputusan itu diumumkan Speaker Kongres Kebangsaan DAP ke-17, Chiew Chiu Sing, pada sidang media di akhir persidangan itu.

Seramai 2,179 perwakilan menghadiri kongres sehari secara fizikal di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam itu dan bertanggungjawab mengundi 30 anggota CEC untuk penggal 2022-2025.

Ahli CEC akan memilih pemegang jawatan parti, termasuk jawatan setiausaha agung.

Loke dan Guan Eng adalah antara 92 calon yang bertanding untuk 30 jawatan CEC bagi penggal 2022-2025.

Terdahulu, veteran DAP Lim Kit Siang, 81, menarik diri daripada bertanding pada pemilihan parti kali ini selepas mengumumkan persaraan daripada politik selepas 56 tahun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang meraih undi tertinggi dengan 1,782 undi, kekal sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan.

Jawatan Naib Pengerusi Kebangsaan pula disandang bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

Selain itu, Chiew turut mengumumkan pelantikan Kit Siang sebagai mentor parti, bekas pengerusi Tan Kok Wai sebagai penasihat dan Nga Kor Ming sebagai Ketua Parlimen DAP.

Dalam pada itu, Loke pada sidang media sama menyampaikan penghargaan kepada semua ahli CEC yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk memimpin parti itu selama tiga tahun sekali gus mencorak masa depan parti yang lebih gemilang.

“Sebagai Setiausaha Agung yang baharu, saya mahu membawa pendekatan inklusif supaya setiap pemimpin memainkan peranan mereka untuk menyatupadukan kekuatan parti dan membawa parti ke era kegemilangan.

“Ini adalah permulaan ‘3G’ atau generasi ketiga. Generasi pertama Lim Kit Siang, generasi kedua Lim Guan Eng yang masih berada di CEC untuk memimpin kita dan memberi ruang kepada pemimpin 3G seperti saya, Gobind, Steven Sim dan lain-lain untuk sama-sama memimpin parti berdepan cabaran akan datang,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa baharu itu akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk melantik pemimpin lain yang tidak berpeluang bagi menganggotai CEC dan memegang jawatan di pelbagai biro parti.

Berikut senarai penuh CEC DAP untuk penggal 2022-2025:

Pengerusi Kebangsaan: Lim Guan Eng

Timbalan Pengerusi Kebangsaan: Gobind Singh Deo

Naib Pengerusi Kebangsaan: Nga Kor Ming, Chow Kon Yeow, Chong Chieng Jen, M. Kulasegaran, Teresa Kok Suh Sim

Setiausaha Agung: Anthony Loke Siew Fook

Timbalan Setiausaha Agung: Liew Chin Tong , V. Sivakumar (lantikan), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (lantikan)

Bendahari Kebangsaan: Fong Kui Lun

Penolong Bendahari Kebangsaan: Ng Sze Han

Setiausaha Organisasi Kebangsaan: Steven Sim Chee Keong

Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan: Ng Suee Lim, Khoo Poay Tiong (lantikan)

Setiausaha Publisiti Kebangsaan: Teo Nie Ching

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan: Hannah Yeoh Tseow Suan, V. Ganabatirau (lantikan)

Setiausaha Antarabangsa: Jannie Lasimbang

Penolong Setiausaha Antarabangsa: P. Kasthuriraani

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan: Wong Kah Woh

Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan: Wong Shu Qi

Ahli Jawatankuasa: Tan Kok Wai, Lim Lip Eng, Lim Hui Ying, Alice Lau Kiong Yieng, Chan Foong Hin, Liu Tian Khiew, Tan Hong Pin, Young Syefura Othman, Teo Kok Seong, Su Keong Siong, Wu Him Ven, Syahredzan Johan (lantikan)

Mentor Parti: Lim Kit Siang

Penasihat: Tan Kok Wai

Ketua Parlimen: Nga Kor Ming

– BERNAMA


Pengarang :