Pesiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika berkempen membantu jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di pekarangan Bilik Gerakan Utama KEADILAN DUN Gambir, Muar pada 2 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar gesa kerajaan laksana gaji minimum, tidak layan bantahan syarikat besar

KOTA TINGGI, 3 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya segera melaksanakan gaji minimum tanpa tunduk kepada keengganan syarikat besar.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menegaskan pentadbiran Putrajaya tidak harus melayan bantahan syarikat yang merekod keuntungan tahunan berbilion ringgit.

“Saya tanya perdana menteri mengenai gaji minimum, dia jawab syarikat-syarikat besar tidak mahu bagi sebab susah. Dia (syarikat) untung tiga, empat bilion setahun tetapi kata tak boleh.

“Kena tanya orang bawah, kena tanya pekerja kilang, jangan tanya tauke. Untung berbilion ringgit, apa untungnya bagi pekerja? Kerajaan ini jaga orang kaya sahaja,” katanya.

Ketua pembangkang itu berkata demikian dalam siri jelajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook beliau hari ini.

DUN berkenan menyaksikan calon KEADILAN Omar Mokhtar A Manap berdepan saingan empat penjuru dengan Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pejuang.

Anwar juga menyifatkan kerajaan sedia ada tidak mempeduli rintihan rakyat bawahan sebaliknya lebih senang mendengar pandangan syarikat besar sahaja.

“Sebab itu, apabila kita cakap soal harga barang naik, kerajaan tak kesah (sedangkan) menteri di Malaysia paling banyak di dunia, jadi tidak boleh kata tidak ambil tahu,” katanya.


Pengarang :