Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur pada 2 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Pastikan SOP kempen PRN adil kepada pembangkang

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan persekutuan diingatkan supaya berlaku adil ketika melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) terhadap parti pembangkang sepanjang pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak sesekali menjadi alat kepada pemerintah hingga menjejaskan perjalanan pilihan raya.

“Buat PRN tidak boleh kempen, tempat (kempen) dalam dewan tapi banyak syarat. Motif dia adalah untuk memenangkan satu pihak.

“Keterbatasan ini tidak adil. Perdana Menteri harus lihat (SOP) supaya beri keadilan kerana mereka (kerajaan) yang putuskan untuk adakan PRN. Jadi sediakan SOP lebih baik,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Malam tadi, Pakatan Harapan yang mengadakan ceramah umum pertama kali di Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar dikenakan kompaun RM3,000 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru.

Tempoh berkempen bermula selepas proses penamaan calon selesai pada 26 Februari. Pembuangan undi ditetapkan pada 12 Mac. Seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada PRN tersebut.


Pengarang :