Ketua pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Dewan Rakyat pada 1 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Segerakan projek tebatan banjir di ibu negara

SHAH ALAM, 8 MAC: Kerajaan persekutuan perlu memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah banjir di ibu negara dengan menyegerakan projek tebatan banjir.

Pernah membangkitkan hal berkenaan di Dewan Rakyat pada 20 Januari lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan perparitan dan projek bandar takungan air (sponge city).

Menggesa kerajaan supaya menangguhkan semua projek mega yang menelan belanja berbilion ringgit, ketua pembangkang itu menjelaskan perparitan dan projek tebatan juga menelan kos tinggi.

“Namun, keutamaan segera mesti ada untuk selesaikan masalah ini (banjir),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar turut mengingatkan banjir di Kuala Lumpur semalam menjejaskan ribuan pengguna jalan raya dan sebahagian penduduk yang menetap di kawasan terpinggir.

Hujan lebat luar biasa kira-kira jam 3 petang semalam menyebabkan banyak kawasan di Kuala Lumpur Selangor dinaiki air.

Menteri Alam Sekitar dan Air berkata hujan lebat luar biasa dalam tempoh dua jam menyebabkan sistem perparitan tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang biasanya untuk tempoh kira-kira dua minggu.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata purata hujan bagi tempoh sebulan adalah 200 milimeter, namun petang semalam hujan lebat dalam masa dua jam melebihi 100 mm.

Selain itu, portal Malaysiakini melaporkan projek tebatan banjir di Kuala Lumpur yang dijangka siap tahun ini ditangguhkan lagi dan dipanjangkan ke 2024 kerana masalah kontraktor.

Penangguhan itu berlaku ketika banyak kawasan di ibu kota dilanda siri banjir kilat dalam tempoh tiga bulan dengan kejadian yang terbaru petang semalam.


Pengarang :