Tangkap layar video tular di media sosial memaparkan seorang anggota APM ingkar arahan komander operasi bencana di lokasi tanah runtuh Taman Bukit Permai, Ampang Jaya pada 10 Mac 2022.
AGENDANASIONAL

APM: Lelaki ceroboh lokasi tanah runtuh bekas anggota, lantikan tamat Januari

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Lelaki yang dikatakan memasuki lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, di sini Khamis lepas adalah bekas anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah di ibu negara.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur Kapt (PA) Mazran Mohamad berkata pelantikan lelaki itu tamat pada 9 Jan lepas dan keanggotaannya dalam pasukan itu tidak disambung.

“Individu itu telah diputuskan tidak disambung keanggotaan melalui peruntukan Kaedah 27 Kaedah-kaedah Pertahanan Awam (Pasukan Pertahanan Awam) 1970 (dan) tidak boleh didaftar semula di mana-mana premis serta Pejabat Pertahanan Awam seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan APM itu dikeluarkan bagi menjelaskan kedudukan lelaki terbabit dalam pasukan itu, selepas dia dikatakan masuk ke lokasi bencana yang merupakan kawasan larangan tanpa kebenaran, dan dikhuatiri menjejaskan keselamatan pasukan carian serta mengganggu usaha mencari dan menyelamat.

Rakaman video, yang antara lain memaparkan seorang pegawai APM dilihat ingkar terhadap arahan Komander Operasi Bencana supaya tidak memasuki kawasan itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Semalam seorang pegawai kanan kerajaan adalah antara tujuh pegawai dan anggota APM yang dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung video tular semasa kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 yang mengorbankan empat nyawa.

Mazran berkata APM akan terus bekerjasama dengan semua agensi sama ada dalam situasi aman atau semasa bencana dan mengalu-alukan semua warga Malaysia untuk memahami skop, peranan dan tanggungjawab APM.

“APM adalah sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah dan satu daripada pasukan penyelamat utama di zon merah,” katanya.

“APM juga akan sentiasa bersama semua warganya yang berkhidmat mengikut peraturan dan perundangan sedia ada dalam melindungi nyawa dan harta benda,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :