Orang ramai membeli barang keperluan harian pada Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ayam, telur dapat permintaan tinggi, PKPS jamin bekalan cukup

SHAH ALAM, 22 MAC: Program Jualan Prihatin Rakyat di empat lokasi minggu lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan permintaan tinggi membabitkan ayam dan telur.

Menurut Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), sebanyak 1,150 ekor ayam dan 1,300 papan telur gred B terjual sepanjang dua hari program berlangsung.

“Harga jualan yang murah berbanding pasaran menyebabkan penduduk datang membeli. Telur gred B dijual pada harga RM10 sepapan berbanding pasaran RM12.70.

“Begitu juga dengan ayam yang dijual RM12 seekor tetapi di luar hampir RM20,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi ketika dihubungi.

Jelasnya, PKPS akan memastikan bekalan dua produk terbabit mencukupi sepanjang program berlangsung yang dijadual sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Program yang dilancar sejak 28 Februari pada setiap hujung minggu menyasarkan 64 lokasi di seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Selain telur dan ayam, produk lain yang dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 perkilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 per pek) dan minyak masak.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program itu mencatat jumlah jualan keseluruhan RM180,000 setakat 14 Mac.


Pengarang :