Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 di sini, malam tadi. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Azizulhasni, Cheong Min dinobat olahragawan, olahragawati kebangsaan 2019/2020

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan atlet wushu kebangsaan Tan Cheong Min, masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020, semalam.

Anugerah diraih Mohd Azizulhasni yang mencipta sensasi merangkul pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, adalah kali keempat selepas turut dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada 2009, 2010 dan 2017.

Beliau yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ berjaya mencipta beberapa kejayaan membanggakan sepanjang 2019-2020, antaranya memenangi dua pingat gangsa masing-masing dalam acara pecut dan keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2020 di Berlin, Jerman.

Selain itu, bekas juara dunia itu turut memenangi pingat emas acara keirin siri keempat Kejohanan Trek Piala Dunia UCI 2019, meraih emas acara pecut Kejohanan Berbasikal Asia dua tahun berturut-turut, selain membawa pulang satu pingat perak acara keirin pada kejohanan peringkat benua itu.

Mohd Azizulhasni mengetepikan cabaran beberapa atlet yang turut disenarai pendek iaitu atlet bina badan Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah, Khairul Anuar Mohamad (memanah), Timmy Tan (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu).

Sementara itu, kejayaan mengharumkan nama Malaysia menerusi pingat emas acara Nandao dan pingat perak (Nanquan) pada Kejohanan Wushu Dunia 2019, menyaksikan Cheong Min dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan.

Atlet berusia 24 tahun itu mencipta sejarah menerusi pencapaian tersebut, apabila menjadi atlet wushu wanita pertama dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.

Beliau mengetepikan empat lagi calon pilihan, ratu terjun Datuk Pandelela Rinong Pamg, Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenpin boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).

Mohd Azizulhasni dan Cheong Min masing-masing menerima trofi, blazer dan wang tunai RM20,000.

Majlis gilang gemilang di sebuah bangunan hotel yang memiliki nilai warisan dan sejarah di sini itu, diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta tokoh dan jaguh sukan tanah air, turut hadir pada majlis anugerah tersebut.

Pada masa sama, pemanah S. Suresh yang membanggakan Malaysia apabila menjuarai acara recurve lelaki terbuka Kejohanan Memanah Para Dunia 2019, dipilih sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, manakala tiada pemenang bagi kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Suresh membawa pulang trofi dan wang tunai RM20,000.

Dalam pada itu, skuad tenpin boling lelaki dibarisi Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Mohd Fishol dan Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek, menerima anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan manakala kategori Pasukan Wanita Kebangsaan menjadi milik gandingan penerjun Pandelela dan Datuk Leong Mun Yee.

Majlis malam ini turut mengiktiraf jurulatih para memanah Marzuki Zakaria dan jurulatih boling padang Nor Hashimah Ismail, apabila masing-masing dianugerahkan Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan.

Anugerah Tokoh Sukan pula diberikan kepada bekas setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi.

Berikut adalah senarai penuh penerima pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020:

Olahragawan Kebangsaan – Datuk Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)
Olahragawati Kebangsaan – Tan Cheong Min (wushu)
Olahragawan Paralimpik Kebangsaan – S. Suresh (para memanah)
Olahragawati Paralimpik Kebangsaan – Tiada pemenang
Pasukan Lelaki Kebangsaan: Pasukan tenpin boling (trio) – Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek
Pasukan Wanita Kebangsaan: Pasukan terjun seirama – Datuk Pandelela Rinong Pamg, Datuk Leong Mun Yee
Jurulatih Lelaki Kebangsaan – Marzuki Zakaria (para memanah)
Jurulatih Wanita Kebangsaan – Nor Hashimah Ismail (lawn bowls)
Anugerah Tokoh Sukan – Datuk Sieh Kok Chi
Anugerah Kepimpinan Sukan – Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk S. Vegiyathuman, LT KDR (B) Kamaruzaman Kadir
Anugerah Khas – Persatuan Hoki Negeri Perak (Piala Sultan Azlan Shah), Sekolah Kebangsaan Lemoi, Kelab Penyokong Sukan Malaysia Famemas.

– BERNAMA

 


Pengarang :