Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Fakhrul Radzi, 18, melihat keadaan baju dan buku sekolah yang diselaputi lumpur selepas rumahnya ditenggelami banjir semasa tinjauan di Kampung Padang Tersat, Hulu Terengganu hari ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Banjir: Calon SPM pasrah buku rujukan, nota hanyut

HULU TERENGGANU, 1 MAC: Buku rujukan serta nota penting musnah dihanyutkan air, antara situasi sukar yang terpaksa dihadapi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terlibat dengan banjir besar di daerah ini sejak Ahad lepas.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong Syadiyah Sulaiman, 18, berkata walaupun sedih dengan keadaan yang berlaku, dia pasrah dan berdoa agar dapat menduduki peperiksaan yang akan bermula esok dengan tenang.

“Saya hanya sempat menyelamatkan kad pengenalan kerana keadaan ketika itu sangat kelam-kabut. Semua nota ringkas yang saya buat sepanjang ulang kaji hilang sekelip mata,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi Mohd Fakhrul Radzi, 18, pula dia tidak mahu terlalu risau memikirkan nasibnya dalam SPM nanti kerana mahu fokus membantu keluarganya membersihkan rumah mereka di Kampung Padang Setar di sini, yang masih dipenuhi lumpur akibat banjir.

“Tekanan memang ada tapi apa boleh buat, saya akan cuba buat sehabis baik dalam peperiksaan nanti. Lagipun dah lama sangat SPM ini ditangguhkan, apa pun keputusannya nanti saya terima sahaja,” kata pelajar SMK Tun Indera itu.

Sementara itu di DUNGUN, Che Wan Muhammad Asyraf Che Wan Baharudin, 18, berkata dia tidak patah semangat walaupun sebahagian nota rujukannya musnah ditenggelami banjir Ahad lepas.

Calon SPM SMK Kuala Jengai itu berkata tidak seperti sebelum ini, banjir kali ini naik dengan mendadak menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan hampir semua buku teks dan pakaian sekolah, yang baginya harta paling penting pada ketika ini.

“Saya akan ambil peperiksaan dengan tenang kerana itu yang penting. Tadi pengetua datang beritahu saya boleh tinggal di asrama sekolah hingga selesai peperiksaan,” katanya yang tinggal kira-kira satu kilometer dari sekolah.

Ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 akan dilaksanakan bermula esok hingga 29 Mac ini.

– BERNAMA


Pengarang :