Pasukan penyelamat giat menyelamatkan mangsa terjejas banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Banjir: Kerajaan pusat dan negeri diminta kerjasama, ketepi beza politik

SHAH ALAM, 14 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap kerajaan persekutuan dan
Kerajaan Negeri mengetepikan perbezaan fahaman politik serta dapat bekerjasama menangani masalah banjir di Lembah Klang.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah langkah itu bagi memastikan supaya rakyat yang terlibat tidak menanggung penderitaan yang teruk dan trauma setiap kali berlaku musim hujan.

“Beta sedih dan dukacita apabila melihat kesan-kesan kerosakan selepas banjir yang terpaksa dihadapi oleh rakyat.

“Sekiranya semua pihak masih lagi tidak serius dan sambil lewa dalam mendepani bencana banjir ini, bukan sahaja kerajaan akan terus menanggung kerugian, malah rakyat juga akan terbeban,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Tuanku turut berharap Kerajaan Negeri memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap pihak terlibat dalam kegiatan pencemaran sungai yang menjadi punca utama banjir.

Baginda bertitah tindakan undang-undang adalah cara paling berkesan untuk memberi pengajaran kepada rakyat supaya tidak melakukan pencemaran dan pencerobohan tanah di tepi sungai.

“Beta juga berharap rakyat memainkan peranan untuk memastikan sistem perparitan dan sungai di penempatan masing-masing tidak tersumbat dan sentiasa bersih serta berada dalam keadaan baik.

“Elakkan daripada kegiatan membuang sampah ke dalam sungai yang boleh mencemarkan kualiti air dan banjir kilat,” titah Baginda.


Pengarang :