Kenderaan meredah air banjir dalam keadaan trafik sesak sekitar Kuala Lumpur disebabkan banjir kilat yang berlaku akibat hujan lebat yang berterusan sejak awal petang pada 10 Sept 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir kilat jejas beberapa laluan di ibu negara

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Banjir kilat dilaporkan di beberapa kawasan di ibu negara petang ini susulan hujan lebat.

Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan banjir kilat itu menyebabkan beberapa laluan terjejas antaranya di Besraya Expressway melibatkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan dari Kampung Malaysia ke Kuchai, lapor Bernama.

Selain itu banjir kilat di Lebuhraya Kesas mengakibatkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan Sukom.

Banjir kilat juga mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong SMART melibatkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengesahkan beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir kilat.

Maklumat dikongsi menerusi Facebook, agensi itu memaklumkan sehingga 5 petang tadi kawasan sekitar Balai Polis Dang Wangi mula dinaiki air.

Antara kawasan itu seperti berikut:
– Jalan Sultan Ismail / Jln Ampang
– Jalan Leboh Ampang
– Jalan Raja Laut (Sogo /Pertama)
– Jalan Kia Peng / Jalan Raja Chulan.

Manakala sungai melepasi paras amaran seperti brikut:
– Sentul – Sungai Batu
– Jambatan Sulaiman – Sungai Klang
– Lebuh Pasar – Sungai Klang
– Jalan Parlimen – Sungai Gombak

Sungai melepasi paras bahaya pula di Jalan Tun Razak – Sungai Gombak

Nadma mengingatkan orang awam agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan keadaan sekeliling dan mengutamakan keselamatan diri ketika banjir berlaku.


Pengarang :