Mangsa banjir Marina Abdul Razam, 48, (kanan) bersama anaknya Ahmad Aiman Haqeem Abdullah, 17, melakukan kerja pembersihan rumah akibat banjir semasa tinjauan di Kampung Chemuak, Dungun hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir: Mangsa di Kelantan meningkat, keadaan di Terengganu bertambah baik

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat manakala situasi di Terengganu bertambah baik setakat 8 malam ini.

Di KELANTAN, mangsa meningkat kepada 8,678 orang daripada 2,895 keluarga berbanding 8,151 orang daripada 2,626 keluarga setakat petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan sebanyak 30 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan 23 di Pasir Mas, Tumpat (tiga) manakala masing-masing dua di Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan hanya satu sungai utama di negeri itu berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah yang merekodkan bacaan 22.59 meter.

Di TERENGGANU, jumlah penduduk yang dipindahkan berkurangan kepada 16,078 orang daripada 4,127 keluarga berbanding 17,507 orang daripada 4,477 keluarga pada 2 petang tadi.

Jumlah PPS juga berkurangan kepada 98 iaitu 27 di Kemaman, Dungun (25), Hulu Terengganu (19), Setiu (10), Besut (tujuh), Kuala Terengganu (lima) dan Kuala Nerus (lima).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan satu-satunya PPS di Marang iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan telah ditutup secara rasmi pada 4 petang.

Jumlah mangsa tertinggi masih di Kemaman iaitu 8,408 orang diikuti Hulu Terengganu (3,041), Dungun (2,742), Kuala Nerus (537), Kuala Terengganu (516), Besut (431) dan Setiu (403).

Cuaca di kebanyakan daerah juga baik sepanjang hari ini dengan mendung dan hujan sederhana di beberapa lokasi.

JPS melalui laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan kebanyakan sungai semakin surut dan ketika ini, hanya tiga sungai di tiga daerah masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di daerah Kemaman, Sungai Peneh di Hulu Terengganu dan Sungai Dungun (Dungun).

-BERNAMA


Pengarang :