Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar (dua, kanan) melawat gerai pameran selepas majlis perasmian Karnival Bazar Ramadan di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah, Puchong pada 8 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBT SELANGOR

Baucar RM10 buat pelanggan bawa bekas sendiri ke bazar Ramadan

PUCHONG, 9 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan baucar bernilai RM10 kepada 1,000 pelanggan yang membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan tahun ini.

Tawaran pada setiap Rabu bagi mengurangkan penggunaan plastik dengan ganjaran boleh ditebus di bazar sekitar Subang Jaya, kata Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar.

“Baucar boleh ditebus di mana-mana gerai di 16 lokasi bazar Ramadan sekitar Subang Jaya dengan syarat menunjukkan bekas makanan yang dibawa.

“Setiap pelanggan boleh menikmati peluang sekali sahaja untuk membeli makanan atau minuman di bazar sepanjang Ramadan,” katanya menambah baucar boleh digunakan sehari selepas menerimanya.

Sementara itu, Johary berkata penggunaan bekas makanan jenis polistirena dan penyedut minuman plastik kekal dilarang bagi mengurangkan pencemaran sekali gus menyokong inisiatif hijau.

Beliau menjelaskan MBSJ turut menyediakan tong kitar semula minyak masak bagi menggalakkan peniaga bazar mengitar semula minyak yang sudah digunakan.

Seramai 764 peniaga mendaftar di bazar Ramadan bawah pentadbiran MSBJ membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

 


Pengarang :