AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Bayaran zakat fitrah Selangor kekal RM7

SHAH ALAM, 28 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menetapkan kadar zakat fitrah di negeri ini RM7 seorang, kekal seperti tahun sebelumnya.

Ketua divisyen kutipannya berkata penetapan itu berdasarkan harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan penduduk Selangor.

Jelas Muhd Fikri Naim Harun, bagaimanapun,LZS amat menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.

“Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21 bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah.

“Galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini
dilaksanakan oleh LZS sejak 2018 lagi. Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, LZS turut melantik seramai 2,745 ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor untuk mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

“Umat Islam dinasihatkan agar membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik oleh LZS yang dibekalkan ad tauliah dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan sepanjang berurusan.

“Pembayaran zakat fitrah juga boleh dibuat di platform dalam talian yang disediakan iaitu melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my; aplikasi Zakat Selangor; perbankan internet; MyEg dan Pos Online serta e-dompet GoPayz dan Boost,” katanya.


Pengarang :