Polis daerah Klang Utara dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad Klang memutuskan bekalan elektrik 12 premis yang menjalankan kegiatan judi dalam talian sekitar Kapar, Klang. Foto ihsan polis daerah Klang Utara
AGENDAJENAYAH

Bekalan elektrik 12 premis judi dalam talian dipotong, elak kegiatan berleluasa

SHAH ALAM, 11 MAC: Bekalan elektrik 12 premis menjalankan kegiatan judi dalam talian sekitar Kapar, Klang diputuskan dalam operasi yang diadakan selama dua hari bermula Selasa.

Ketua Polis Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata operasi bersama Tenaga Nasional Berhad Klang itu bertujuan mencegah kegiatan berkenaan yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

“Pihak polis akan meneruskan risikan dan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan judi dalam talian lumpuh sepenuhnya.

“Pemilik premis juga diminta tidak menyewakan aset kepada sindiket ini. Mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini menjalankan operasi sama pada 2020 melibatkan 32 premis manakala tahun lalu sebanyak 26 premis.

“Semua premis ini dikenakan tindakan serta dituduh di mahkamah. Namun masih ada yang degil dan kembali beroperasi,” katanya.


Pengarang :