Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam Kejohanan Badminton All England pada 17 Mac 2022. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Beregu wanita Pearly-Thinaah mara suku akhir badminton All England

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah mara ke suku akhir Kejohanan Badminton All England 2022 selepas menewaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi hari ini.

Ini adalah suku akhir kedua gandingan negara itu selepas melakukannya pada penampilan sulung mereka tahun lepas.

Gandingan di ranking ke-15 dunia itu bermula agak goyah apabila tewas di set pertama 18-21 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung di Arena Birmingham.

Bagaimanapun, mereka bangkit menguasai set kedua dengan menang 21-19 untuk mengheret ke perlawanan penentuan sebelum menamatkan 75 minit perlawanan dengan menang set ketiga 21-16.

Di atas kertas, Pearly-Thinaah sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk mara ke separuh akhir memandangkan mereka akan berdepan pasangan ranking ke-64 dunia Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan yang menewaskan beregu Thailand Supissara Paewsampran-Puttita Supajirakul 19-21, 21-13, 21-13.

Sementara itu, nasib berbeza buat beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila dikejutkan oleh pasangan Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Pilihan kelapan kejohanan yang menduduki ranking ke-11 dunia itu tewas 22-24, 21-13, 17-21 kepada pasangan di ranking ke-28.

— BERNAMA

 


Pengarang :