Bendera parti memenuhi sepajang jalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Johor Baharu pada 11 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Beri peluang KEADILAN, HARAPAN tunai janji selepas dikhianati

JOHOR BAHRU, 12 MAC: Warga Johor diminta memberi peluang kepada calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya negeri (PRN) esok.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tiba masanya bagi gabungan itu menunaikan kembali janji selepas dikhianati.

“Ada mengatakan KEADILAN, HARAPAN 22 bulan tidak mampu buat apa-apa jadi jangan pilih lagi. Ada kata kita menipu, tidak mampu tunai janji. Sebenarnya bukan tidak boleh tetapi kita dihalang.

“Kenapa kita dihalang sebab musuh tahu kalau kita mampu buat, mereka tidak berpeluang untuk berkuasa, buktinya di Pulau Pinang, Selangor,” katanya pada Jelajah Johor di Flat Larkin Perdana petang tadi.

Dalam program jelajah itu, beliau berkempen bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin Dr Zamil Najwah Arbaian yang bakal berdepan saingan enam penjuru.

Dato Seri Amirudin Shari berucap ketika berkempen bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di Johor Baharu pada 11 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata setiap pentadbiran memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk menunaikan janji pilihan raya.

Beliau menyifatkan rampasan kuasa yang berlaku amat menyakitkan apatah lagi pelbagai program yang diatur untuk rakyat tidak dapat dilaksanakan.

“Seperti di Johor ada Kad Sihat Johor yang peruntuk RM500 kepada keluarga berpendapatan rendah ke klinik swasta apabila tidak sempat ke klinik kerajaan.

“Program pimpinan HARAPAN Johor ini sama seperti Kad Peduli Sihat di Selangor yang dilaksana sejak 2016 dengan sekitar 80,000 keluarga menerima manfaat,” katanya.

Dr Zamil bakal ditentang Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang), Muhammad Rasid Abu Bakar (Muda), Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional), Norramadan Buan (Bebas) dan Mohd Hairi Mad Shah (Barisan Nasional).

Kerusi itu sebelum ini dimenangi Mohd Izhar Ahmad (KEADILAN) dengan 8,590 undi.

 


Pengarang :