Orang ramai boleh menyemak status kelulusan BKM mulai 28 Mac 2022.
AGENDANASIONAL

BKM: Bayaran fasa satu kepada 8.6 juta penerima mulai 28 Mac

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran Fasa Satu dikreditkan mulai 28 Mac, melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM2 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata 8.6 juta penerima akan mendapat bayaran RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima, merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang atau tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

“Bagi penerima isi rumah, warga emas dan individu bujang, tarikh pembayaran akan bermula 28 Mac sehingga 8 April dan akan terus dikreditkan ke akaun bank.

“Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah dan Sarawak), pembayaran akan dibuat bermula 30 Mac melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). Pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP (prosedur operasi standard) dari semasa ke semasa,” katanya.

BKM adalah sebuah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan di dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.

Ismail Sabri berkata pembayaran itu juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan.

“Semakan status kelulusan BKM boleh dibuat mulai 28 Mac 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my,” katanya.

Bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang layak, Perdana Menteri berkata tempoh permohonan rayuan akan dibuka selama sebulan mulai 2 Mei ini.

Beliau berkata proses itu adalah bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang untuk mereka mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :