Bendera parti memenuhi sepanjang jalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulai sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 11 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bubar DUN tahun depan, tiga negeri HARAPAN tumpu bantu rakyat selepas wabak Covid-19

SHAH ALAM, 17 MAC: Tiga negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) termasuk Selangor tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini demi memastikan rakyat pulih daripada kesan kelembapan ekonomi akibat wabak Covid-19 dan banjir.

“Keputusan ini dibuat mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih sangat terkesan akibat banjir besar, pandemik Covid-19, pendapatan yang berkurangan serta kos sara hidup yang meningkat mendadak,” tegas Majlis Presiden gabungan tersebut hari ini.

“Majlis Presiden menegaskan bahawa fokus segala usaha pada waktu ini harus ke arah menyelamatkan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.”

Majlis Presiden dalam kenyataannya mengulas desakan sesetengah pihak agar pilihan raya umum (PRU) diadakan beberapa bulan lagi, kira-kira setahun sebelum penggal ini berakhir.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor tidak bercadang membubarkan DUN jika PRU diadakan mengejut dalam masa terdekat.

Selain memenuhi mandat dan khidmat kepada rakyat, beliau berkata PRU tidak wajar diadakan sekarang kerana pelbagai perancangan Kerajaan Negeri masih dalam proses pelaksanaan.

Sebelum itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan pendirian sama.

Beberapa negeri lain dilapor tidak bersedia membubarkan DUN masing-masing sehingga tahun depan.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini mendesak PRU diadakan segera dalam tempoh beberapa bulan lagi susulan kemenangan parti itu dalam PRN Melaka dan Johor.


Pengarang :