Anggota polis membantu penumpang dari ketibaan antarabangsa untuk membuat pemeriksaan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 September 2021. FOTO BERNAMA
AGENDANASIONAL

Buka sempadan: Penggiat industri perlu sedia awal terima pelancong luar

PUTRAJAYA, 9 MAC: Penggiat industri pelancongan dan kebudayaan disaran supaya melakukan persediaan awal bagi menerima kemasukan pelancong dari luar negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Menerusi satu kenyataan hari ini berhubung pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini, Nancy berkata pihak terbabit perlu terus mempergiat promosi serta lebih kreatif dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Malaysia di mata dunia.

“Keputusan pembukaan sempadan negara kepada pelancong luar ini berupaya merancakkan kembali pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19, terutama yang melibatkan keseluruhan rantaian pemain industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

“Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) kekal optimis industri ini akan kembali bangkit dan berupaya menjadikan Malaysia kembali popular dalam kalangan pelancong antarabangsa,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai bulan depan.

Menyifatkan pengumuman itu sebagai berita gembira buat penggiat industri pelancongan, Nancy berkata ia memberi peluang untuk menjana semula sektor pelancongan antarabangsa setelah dua tahun dilanda pandemik.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memberikan kerjasama dan menyokong usaha semua agensi kerajaan yang terlibat bagi menjayakan pembukaan semula sempadan negara kelak.

-BERNAMA

 


Pengarang :