Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memasang bendera di Dewan Undangn Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon KEADILAN berdepan saingan pelbagai penjuru di kerusi panas

SHAH ALAM, 9 MAC: Kebanyakan calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berdepan saingan pelbagai penjuru dalam pilihan raya negeri (Johor) bagi sesebuah kerusi, paling ramai di Dewan Undangan Negeri Kempas.

Ketua Wanita KEADILAN Johor Napsiah Khamis Maharan bersaing dengan Datuk Ramlee Bohani dari Barisan Nasional (BN) dalam pertembungan tujuh penjuru termasuk tiga lagi calon bebas.

Turut bertanding, Nur Faizal Abdullah (Perikatan Nasional) dan Nornekman Osman (Pejuang) selain calon bebas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Hambali Munadi dan Mohd Suhimi A Rahman.

Berbeza parti dengan bapanya, Nornekman adalah anak bekas Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian yang menang kerusi itu  dengan majoriti 9,178 ketika mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia atas tiket KEADILAN.

DUN Larkin pula menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon KEADILAN Dr Zamil Najwah Arbain dengan Rasid Abu Bakar (Muda), Hairi Md Shah (BN), bekas wartawan Zulkifli Bujang (PN) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang).

Pada PRU 2018, kerusi itu dimenangi Mohd Izhar Ahmad (KEADILAN) dengan majoriti 8,590 undi.

Di DUN Benut, Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Johor Haniff @ Ghazali Hosman menentang Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, penyandang yang memperoleh majoriti 4,477 undi pada PRU 2018.

Dr Maszlee Malik (KEADILAN) pula bertanding di DUN Layang-layang yang sebelum ini dimenangi Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN) dengan majoriti 364 undi. Bekas menteri pendidikan turut berdepan Alagathiran Krishnan (PN), Abd Mutalip Abd Rahim (BN) dan Ahmad Shafiq Othaman (Pejuang).

Selain itu, calon KEADILAN Md Ysahrudin Kusni dan Khuzzan Abu Bakar masing-masing berdepan pertembungan lima penjuru di DUN Bukit Naning dan Semerah.

Pertandingan empat penjuru pula berlaku di DUN Buloh Kasap (C Subramani), Pemanis (Yoong Thau), Gambir (Naim Jusri), Sungai Balang (Abdullah Sahid), Sri Medan (Azmi Masrani), Semarang (Haryati Abu Nasir), Rengit (Khairuddin A Rahim), Layang-layang (Dr Maszlee Malik), Tenggaroh (Zulinah A Johari), Pasir Raja (Mohd Fakharuddin Moslim), Johor Lama (Omar Mokhtar A Manap), Tanjung Surat (Rosman Tahir), Bukit Batu (Chiong Sen Sern), Benut (Hanif Ghazali Hosman), Kukup (Mohd Zaiful Bakri).

Dalam PRN Johor, KEADILAN yang bertanding atas logo sendiri meletakkan 20 calon manakala DAP dan Parti Amanah Negara meletakkan 30 calon.

Seramai 2,597,742 pengundi bakal membuang undi pada 12 Mac termasuk kira-kira 750,000 pengundi baharu.


Pengarang :