Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) meninjau lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cerun tidak selamat, penduduk Taman Bukit Permai 2 diarah pindah

SHAH ALAM, 15 MAC: Kawasan cerun di tapak insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang disahkan tidak selamat menurut laporan Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Langat semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia susulan pergerakan kecil dikesan di lokasi terbabit yang boleh menjejaskan puluhan kediaman jika berlaku runtuhan sekali lagi.

“Berdasarkan kajian ada pergerakan kecil dikesan dan tindakan lanjut sedang dibuat,malah kita mengenal pasti 72 rumah yang berkemungkinan terjejas jika berlaku runtuhan kali kedua dan ketiga.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 15 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Justeru, jawatankuasa bencana daerah akan mengeluarkan arahan untuk mengosongkan rumah terbabit sebab ia perlu dibuat segera untuk mengelakkan perkara sama,” katanya.

Ditemui pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Amirudin menambah pengosongan kediaman membolehkan usaha pembaikan dan pemulihan cerun dibuat segera.

“Pemulihan cerun akan dilakukan sesegera mungkin cuma kos kita tengah tunggu,” katanya lagi.

Insiden tanah runtuh minggu lalu meragut empat nyawa manakala seorang mangsa cedera ringan selain menjejaskan 15 rumah serta 10 kenderaan.

Pada 11 Mac, Amirudin meninjau kawasan terbabit selain menyalurkan bantuan segera sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut.

 


Pengarang :