Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengadakan sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 6 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Hanya 153 kes baharu kategori tiga hingga lima

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Sebanyak 153 kes atau 0.68 peratus daripada 22,341 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam (19 Mac) melibatkan kategori tiga hingga lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata baki 22,188 kes pula terdiri daripada kategori satu dan dua, sekali gus menjadikan kes kumulatif Covid-19 dalam negara berjumlah 3,974,019 manakala 33,347 kes sembuh dilaporkan semalam, menjadikan kes sembuh kumulatif sebanyak 3,656,415.

“Daripada 153 kes kategori tiga hingga lima, 48 kes melibatkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, 61 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 44 kes telah menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 negara, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,394 kes COVID-19 pula dimasukkan ke hospital semalam, dengan 554 kes atau 39.7 peratus melibatkan kategori tiga hingga lima, manakala 840 kes atau 60.3 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

Beliau berkata sebanyak 390 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan 219 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, tujuh negeri menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal (ICU) lebih 50 peratus iaitu Perlis (64 peratus), Kelantan (63 peratus), Johor (59 peratus), Selangor (58 peratus), Sarawak (53 peratus), serta Perak dan Pulau Pinang (51 peratus) sementara Kuala Lumpur dan Putrajaya (67 peratus).

Dr Noor Hisham berkata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 negara kini ialah 0.92 dan negeri yang mencatat Rt tertinggi ialah Sarawak dengan 1.06.

Negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 ialah Kuala Lumpur (1.03), manakala Negeri Sembilan dan Perak masing-masing merekodkan 1.01.

– BERNAMA


Pengarang :