Petugas kesihatan melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Serin, Cyberjaya pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Cuepacs: Senarai Covid-19 penyakit berjangkit dalam pekeliling, permudah ibu bapa jaga anak positif

Oleh Nur Natasha Aida Ismail

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kerajaan diminta mempertimbangkan untuk menyenaraikan Covid-19 sebagai penyakit berjangkit dalam pekeliling perkhidmatan bagi melayakkan ibu bapa yang menjaga anak dijangkiti wabak tersebut menggunakan kemudahan cuti kuarantin bagi menguruskan anak mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata langkah itu, bagi membolehkan ibu bapa khususnya yang menjadi kontak rapat tanpa gejala dan sudah menerima dos penggalak mendapat kemudahan lima hari cuti kuarantin tersebut.

Katanya, mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), individu dalam kategori itu tidak perlu menjalani kuarantin manakala berdasarkan pekeliling perkhidmatan bilangan 11 tahun 2016, kemudahan cuti kuarantin ini hanya diberikan kepada ibu bapa yang anak mereka dijangkiti penyakit berjangkit antaranya penyakit tangan, kaki dan mulut; demam denggi; cacar air (chickenpox) dan malaria, tidak termasuk Covid-19.

“Dalam hal ini, mereka tidak boleh hantar anak ke pengasuh, ini menyebabkan sukar untuk menguruskan anak-anak mereka, jadi Cuepacs minta agar cuti kuarantin ini diberikan kepada salah seorang sama ada ibu atau bapa untuk jaga anak mereka sehingga sihat sepenuhnya.

“Kalau tidak diberikan cuti kuarantin ini, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan boleh mempertimbangkan untuk memberi kemudahan bekerja dari rumah dan kembali bertugas lima hari kemudiannya,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Cuepacs mengambil maklum kepentingan penjawat awam untuk terus berada di lapangan atau pejabat kerana situasi ketika ini menuntut mereka sebagai pelaksana untuk bertugas bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Jadi ketua-ketua perkhidmatan perlu bijak mengurus dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas oleh kerana jangkitan masih berlaku tetapi dalam masa yang sama sistem penyampaian tidak boleh terhenti begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor meminta kerajaan memberi penerangan lebih jelas ketika mengumumkan sesuatu SOP bagi memastikan majikan tidak mengambil kesempatan atas permasalahan berkaitan Covid-19 yang menimpa pekerja mereka.

Beliau berkata berdasarkan Akta Kerja 1955 tidak menyatakan secara jelas bahawa kontak rapat layak mendapat cuti sakit bergaji sebaliknya hanya dinyatakan secara am bahawa mereka yang perlu menjalani kuarantin COVID-19, layak mendapat cuti sakit bergaji.

“Apabila perkara ini tidak jelas, majikan mengambil peluang sekali gus menggunakan apa yang ada dalam undang-undang atau persetujuan perjanjian antara syarikat dan pekerja dan di sinilah kita dengar ada majikan tidak bayar gaji, menolak cuti tahunan bagi kontak rapat jika tidak hadir bekerja dan sebagainya.

“Jadi kerajaan kena jelaskan bahawa ibu bapa yang menjadi kontak rapat, tidak bergejala dan telah menerima dos penggalak layak menerima cuti berbayar khususnya kontak rapat kepada anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Beliau menegaskan berdasarkan Akta Kerja 1955, cuti tahunan bukan untuk kegunaan syarikat sebaliknya cuti tambahan kepada pekerja untuk menggunakannya bagi tujuan peribadi dan bukannya berkaitan dengan masalah kesihatan.

“Seseorang pekerja berkhidmat dengan majikan yang sepatutnya menjadi modal insan yang dibangunkan untuk terus memajukan syarikat tetapi apabila ditimpa musibah seperti ini mereka (majikan) mengabaikan kebajikan pekerja…tak kanlah mereka sampai sanggup tengok pekerja tidak makan bila tiada gaji,” katanya.

Beliau juga memohon kerajaan agar mengkaji semula SOP kontak rapat tanpa gejala yang telah menerima dos penggalak tidak perlu lagi menjalani kuarantin kerana hakikatnya kontak rapat itu kekal mempunyai risiko yang tinggi untuk menyebabkan jangkitan kepada orang lain sekiranya mereka bebas bergerak.

Pada 24 Feb lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan individu berumur 18 tahun ke atas yang menjadi kontak rapat kepada kes positif Cov-19 yang menerima dos penggalak dan tidak bergejala pada hari pertama, tidak perlu menjalani kuarantin bermula 1 Mac 2022.

– BERNAMA

 


Pengarang :