Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Dana lebih RM7 bilion laksana usaha atasi banjir, bersedia musim kemarau

SABAK BERNAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri merangka langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir menerusi peruntukan lebih RM7 bilion.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata projek berkenaan turut merangkumi pengurusan sumber air memandangkan fenomena kemarau diramal berlaku pada 2025.

“Projek dijalankan secara menyeluruh, bukan hanya strategi urus banjir tetapi juga penyimpanan air di tasik, kolam atau terowong sebagai persediaan musim kemarau.

“Antara prosesnya mendalamkan Sungai Klang hingga Kuala Lumpur melibatkan RM700 juta termasuk pengukuhan ban dan tebing.

“Selain itu pembinaan terowong turut dilakukan bagi meningkatkan aliran air di Shah Alam melibatkan kos berjumlah RM2 bilion,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kelong Paradise Waterfront Resort di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Pandan Indah berkata projek dijalankan Syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) itu bermula empat bulan lagi dan dijangka siap dalam tempoh kurang dua tahun selepas pelaksanaannya.

Kelmarin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek tebatan banjir di negeri ini akan dimulakan dengan proses mendalamkan Sungai Klang dan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.


Pengarang :