Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bercakap pada sidang media mengenai persiapan menghadapi Sukan SEA Hanoi 2021 selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA dan penggulungan akhir di Wisma OCM hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALSUKANKINI

Dana podium suntik semangat persatuan sukan ke Sukan SEA Hanoi

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Persatuan sukan kebangsaan (NSA) berada pada mood lebih baik serta bersemangat dalam mempersiapkan atlet masing-masing menjelang Sukan SEA Hanoi pada 12-23 Mei ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata perubahan positif itu berikutan keputusan kerajaan baru-baru ini yang meluluskan peruntukan RM240 juta untuk pelaksanaan Program Podium bermula 2022 hingga 2025.

Katanya peruntukan itu menandakan kesinambungan terhadap segala program yang dirancang Majlis Sukan Negara (MSN), sekali gus membakar semangat semua persatuan untuk memastikan atlet masing-masing mencapai kejayaan pada temasya dwitahunan itu.

“Kita lihat persatuan sukan menerima berita ini (peruntukan) dengan baik dan mereka mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk meneruskan perjuangan atas nama Malaysia,” katanya.

Mohamad Norza berkata demikian ketika ditanya mengenai tahap ketersediaan NSA menghadapi Sukan SEA Hanoi pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM di sini, hari ini.

Beliau turut berpendapat temasya tersebut adalah platform tepat untuk memberi nafas baharu kepada arena sukan tanah air, sebelum misi lebih getir pada Sukan Komanwel di Birmingham, Julai ini dan Sukan Asia di Hangzhou, China pada September.

Pada masa sama, beliau berkata Jawatankuasa Pemilihan mengesyorkan jumlah kontinjen negara ke Hanoi adalah seramai 770 orang terdiri daripada 574 atlet dan 196 pegawai.

Daripada jumlah itu, 317 atlet di bawah kategori A dan 257 di bawah kategori B, namun Mohamad Norza berkata angka itu dijangka meningkat apabila tiga sukan iaitu renang, olahraga dan e-sukan menghantar nama atlet masing-masing sebelum 12 Mac ini.

“Senarai akhir atlet olahraga adalah selepas Kejohanan Terbuka Malaysia pada 5 dan 6 Mac, sukan renang pula selepas Kejohanan Terbuka Malaysia (pada) 3-6 Mac dan untuk e-sukan adalah selepas pemilihan dibuat persatuan itu pada 7 Mac,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata skuad petanque dan sepak takraw akan menyertai temasya itu di bawah nama MOM berikutan isu penggantungan yang dihadapi oleh kedua-dua persatuan sukan terbabit.

Menurutnya kontinjen negara ke Hanoi akan mengambil bahagian dalam 40 daripada 43 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu tiga sukan yang tidak disertai Malaysia adalah bola baling, vovinam dan gusti.

Sebagai rekod, pada edisi 2019 di Filipina, kontinjen Malaysia diwakili 773 atlet bagi mengambil bahagian dalam 52 daripada 56 jenis sukan yang dipertandingkan.

-BERNAMA

 


Pengarang :