Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka akan menyentuh tiga perkara utama bagi membolehkan penguatkuasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
AGENDANASIONAL

DBP: Pindaan akta tumpu tiga perkara utama, iktiraf Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengemukakan pindaan Akta DBP dalam tiga perkara utama bagi membolehkan penguatkuasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata perkara pertama melibatkan pemberian kuasa penguatkuasaan Bahasa Melayu dalam sektor yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 152(6) yang memperuntuk penggunaannya dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

“Kedua, peruntukan yang membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa secara yang berasaskan undang-undang sah walaupun DBP sejak tahun 1980-an telah melaksanakan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat dunia.

“Pindaan aspek pengantarabangsaan juga berkaitan rapat dengan kelulusan Jemaah Menteri menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada tahun 1997, dengan DBP sebagai urus setianya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pindaan ketiga pula berkaitan dengan peruntukan yang membolehkan DBP menubuhkan perbadanan agar fungsi perniagaan agensi itu dapat digerakkan dengan lebih berkesan sekali gus menyumbang dalam aspek kewangan negara.

“Sebagai badan berkanun, DBP hanya menerima peruntukan emolumen daripada kerajaan dan perlu menjanakan pendapatan untuk melaksanakan program perancangan bahasa, persuratan dan penerbitan,” katanya.

Awang berkata DBP yakin iltizam kerajaan dalam usaha mengangkat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat negara dan antarabangsa menjadi asas penting pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan sebagai antara dasar utama negara selain meningkatkan imej serta maruah negara di mata dunia.

Beliau berkata DBP menghargai ucapan penggulungan Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung parti itu yang mengumumkan kerajaan akan meminda Akta DBP bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.

– BERNAMA


Pengarang :