Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mahmud Abbas (empat, kanan) bergambar bersama kakitangan hotel ketika membuat lawatan ke bilik hotel selepas merasmikan pembukaan semula De Palma Eco Resort ketika majlis pelancaran di De Palma Eco Resort, Kuala Selangor pada 29 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

De Palma Eco Resort Kuala Selangor beroperasi semula

KUALA SELANGOR, 29 MAC: De Palma Eco Resort yang dikendalikan oleh pengurusan baharu, The Blanket Hotel Sdn Bhd kini dibuka semula setelah operasinya ditutup sejak Oktober tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abas berkata hotel yang dimiliki oleh perbadanan itu mula dibuka semula sejak awal bulan ini.

Sehubungan itu Mahmud berharap peluang yang diberikan kepada The Blanket Hotel yang merupakan syarikat bumiputera mampu membawa rangkaian jenama hotel De Palma ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata langkah yang serupa turut dilaksanakan terhadap dua lagi cawangan iaitu De Palma Hotel Shah Alam yang diuruskan The Blanket Hotel manakala satu lagi di Ampang yang akan dikendalikan oleh operator perhotelan syarikat bumiputera.

“Hala tuju PKNS sekarang ini ialah untuk memberi peluang kepada orang luar mengendalikan hotel-hotel kita. Sebab selama ini PKNS sudah membuat bangunan, menyediakan perabot dan membuat jenama untuk De Palma.

“Dengan ini PKNS secara tidak langsung membantu pengendali syarikat dari segi pengoperasian dan latihan kepada pekerja untuk menjadi pengurusan hotel yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Perasmian Pembukaan Semula De Palma Eco Resort Kuala Selangor, hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan Pengarah The Blanket Hotel Ieja Hindon Salleh.

De Palma Eco Resort menyediakan 60 bilik yang merangkumi 48 chalet dan 12 villa beserta kemudahan seperti kolam renang, kawasan letak kenderaan percuma, dewan dan ‘coffee house’.

Sementara itu, Ieja Hindon berkata The Blanket Hotel telah memulakan operasinya sejak 2003 di hotel bajet milik syarikat itu di Pulau Pinang dan terus mengembangkan cawangan menjadi operator yang mengendalikan lima buah hotel di negeri itu, Selangor dan Kedah.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :