Kenderaan terperangkap dalam banjir kilat di sekitar Jalan Kia Peng berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 7 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Dewan Rakyat terima usul ahli Parlimen HARAPAN, bahas isu banjir

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menerima usul mengenai banjir kilat yang melanda kebanyakan kawasan di ibu negara semalam, dan bersetuju agar isu itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Azhar berkata beliau menerima notis pemberitahu mengenai usul itu daripada dua Ahli Parlimen iaitu Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pada pukul 10 malam tadi dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) sekitar 10 pagi ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menjelaskan usul itu bagaimanapun tidak akan dibincangkan atau dibahaskan hari ini, kerana memerlukan tempoh 24 jam untuk diteliti menurut Peraturan Mesyuarat 18 (2).

“Saya terima usul Yang Berhormat (Fong) pada 10 malam tadi, jadi saya ada 24 jam ikut peraturan (untuk dipertimbangkan) dan saya akan jawab hari ini, usul YB (Yang Berhormat) Lembah Pantai dihantar 10 pagi…saya ada (tempoh) sehingga esok (untuk pertimbangan).

“Tetapi secara preliminary, saya cadangkan perkara itu dibincangkan (bahas)…itu sahaja komen saya setakat ini. Tapi saya tak benarkan ia (dibahas) sekarang, kerana perlu tempoh 24 jam (untuk dipertimbangkan)…kalau saya benarkan, hanya satu sahaja kerana ia (usul) sama,” katanya.

Terdahulu sebelum sesi perbahasan Titah Diraja bermula, Fong bangun mengusulkan agar kejadian banjir kilat yang melanda banyak kawasan di Kuala Lumpur semalam dibahaskan segera, malah usul sama turut dibangkitkan dan disokong oleh Ahmad Fahmi.

“Semalam, banjir kilat melanda di banyak tempat khususnya di Bukit Bintang, Cheras, Seputeh dan Lembah Pantai. Saya minta usul berkenaan dibahaskan di Dewan yang mulia ini…ia melibatkan kepentingan orang ramai,” katanya.

Beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk jalan-jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan yang bermula sejak 2.30 petang semalam.

Sementara itu, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pula bangun mengemukakan usul membahaskan isu arahan pembayaran AS$14.92 bilion atau RM62.59 bilion oleh Mahkamah Timbang Tara Paris kepada Kesultanan Sulu kerana ia perkara tertentu berhubung kepentingan awam yang dikehendaki disegerakan.

“Ini adalah perkara berkenaan dengan kepentingan orang berkenaan dengan kedaulatan negara terutamanya Sabah. Malaysia dibentuk oleh tiga wilayah dan kerajaan Persekutuan bertanggungjawab atas keselamatan Sabah dan Sarawak.

“Jadi saya mohon soal ini dibincangkan dan dibahaskan di dalam Dewan ini dengan segera dan tidak boleh diremeh-remehkan atau dilengah-lengahkan lagi. Jadi saya mohon Yang Dipertua mempertimbangkan permohonan saya ini diberikan keutamaan untuk dibahas,” katanya.

Azhar kemudian menjelaskan beliau belum meneliti usul berkenaan kerana baru dihantar pada 11.30 pagi ini iaitu selepas persidangan bermula.

— BERNAMA

 


Pengarang :