Selangorkini
Ketua pasukan Selangor FC Brendan Gan. Foto Facebook Brendan Gan
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Diancam maut akibat barah, Brendan mahu bangkit

Kelincahan di atas padang menjadikan beliau ayam tambatan skuad negara dan Selangor FC. Namun di sebalik kehebatannya, pemain itu turut berjuang melawan barah testis. Kapten kelab itu menceritakan kisah deritanya kepada AMIN RIDZUAN ISHAK ketika pasukannya melancarkan kempen kesedaran barah awal bulan lalu.

Dunia bagaikan terhenti apabila Brendan Gan mengetahui disah menghidap barah testis pada Julai lalu. Ketua pasukan Selangor FC (SFC) itu terduduk sebaik membaca keputusan biopsinya. Hilang kata-kata selama 10 minit.

Dibeleknya beberapa kali kertas keputusan ujian itu. Hatinya remuk. Seakan-akan tidak percaya dirinya boleh menghidap penyakit kronik itu. Serta-merta diatur pembedahan bagi membuang ketulan tumor pada bulan itu juga.

Sedang dalam penantian ke bilik bedah, Brendan mula memahami mengapa bahagian bawah perutnya dirasakan sakit selama dua jam ketika mewakili negara di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun 2021.

Brendan, 34 sudah pun menyedari ada ketulan di bawah perut dan pada Januari 2021 beliau melakukan pemeriksaan di pusat perubatan pakar swasta di negara ini. Namun diberitahu tiada apa-apa mencurigakan. Dirinya disahkan sihat.

Sebagai ahli sukan profesional, gaya hidup sihat memang menjadi sebahagian rutin kehidupannya. Setiap tahun, beliau tidak pernah terlepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

Pemain bola sepak professional itu merakamkan bahawa jiwanya terasa direntap apabila dimaklumkan perlu menjalani pembedahan segera untuk mengeluarkan ketulan tumor.

Brendan perlu membuat keputusan segera. Jika bersetuju, beliau tiada pilihan selain melupakan baki aksi Liga Malaysia yang sedang rancak berlangsung pada masa itu.

Tetapi jika ditangguh, penyakit itu boleh mengancam nyawanya. Brendan benar-benar dilema. Belum pun dapat menerima hakikat beliau menghidap barah, tonggak Harimau Malaya itu perlu membuat keputusan terbesar dalam hidupnya seberapa segera.

Satu lagi dilema, bagaimana untuk memberitahu isterinya Elyse dan anak lelakinya berusia dua tahun, Koa, yang ketika itu nun jauh di Australia. Tidak sanggup Brendan menyaksikan tangisan dua insan tersayang itu.

Ketua Pasukan SFC Brendan Gan merupakan bekas pesakit barah yang berjuang melawan penyakit itu sehingga sembuh. Foto Twitter Amirudin Shari

“Ya, itu yang paling sukar. Ketika membuat panggilan video, saya cuba berlagak bahawa semua baik, bergurau dengan mereka sedangkan dalam hati ini berat.

“Seperti dijangka pastinya mereka terkejut dan sedih, namun mereka positif. Sedia bersama-sama mengharungi saat sukar ini,” katanya yang mengakui menitiskan air mata ketika memberitahu berita itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif SFC Dr Johan Kamal.

Segalanya berlaku dengan pantas buat beliau atau nama sebenar Brendan Seng Ling Gan. Kira-kira 24 jam selepas disah menghidap barah, beliau sudah berada di bilik bedah untuk melalui satu lagi saat-saat getir.

Nyawa jadi pertaruhan. Pembedahan itu boleh dianggap kritikal, pastinya ada risiko. Namun pemain tengah itu sedia apa jua kemungkinan. Tidak sesekali menyerah kalah. Beliau mahu terus hidup demi Elyse dan Koa.

“Pembedahan berjalan lancar. Selepas itu saya melalui rawatan kemoterapi sebanyak 15 pusingan yang memenatkan badan dan ada kesan seperti rambut gugur.

“Saya lakukannya tanpa keluarga di sini kerana kekangan perjalanan akibat Covid-19. Ketahanan badan saya yang semakin menurun pun menyebabkan tidak boleh menerima tetamu dari luar kerana mudah dijangkiti serta jatuh sakit,” katanya pada Selangorkini.

Kejayaan pembedahan itu melegakan kem Selangor FC. Pada 26 Julai tahun lalu, pengurusan pasukan bola sepak yang diwakili Brendan mengeluarkan kenyataan mengesahkan penyakitnya.

Pada masa sama, beliau diumumkan berehat sepanjang musim untuk rawatan susulan selepas pembedahan. Berita itu melenyapkan pelbagai spekulasi mengenai status kesihatan pemain bola sepak negara berkenaan.

Brendan mula mewarnai persada bola sepak Malaysia pada 2012 dengan menyertai Sabah sebelum berhijrah ke Kelantan, Perak. Beliau kemudian menyertai Selangor FC pada 2020.

Aksi cemerlang Brendan antara faktor beliau terpilih menyertai skuad bawah 23 tahun kebangsaan pada 2013 diikuti skuad utama sejak 2016.

Ramai yang tidak tahu bahawa Brendan terpaksa menahan sakit semasa menyarung jersi negara dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun tahun lalu. Ketika itu, beliau belum menyedari menghidapi barah.

Kesakitan di bahagian ari-ari itu datang sekali sekala. Paling teruk, ia berlarutan sehingga dua jam. Brendan terpaksa mengambil pil penahan sakit untuk mengurangkan kesannya.

“Sukar menanggung kesakitan dalam dua jam itu. Hanya hilang selepas makan ubat. Saya mula mengesyaki sesuatu dan pulang sahaja ke tanah air, saya terus mendapatkan pandangan kedua daripada pusat perubatan lain.

“Ketika itulah, saya disahkan menghidap barah testis. Bayangkan kalau saya biarkan sahaja, doktor beritahu saya ada hanya enam bulan untuk hidup,” kata Brendan yang dikenali memiliki perwatakan ceria dan disayangi peminat.

Pemain pasukan Malaysia Brendan Gan (tengah) meraikan jaringan golnya pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto BERNAMA

Pemain yang mengenakan jersi nombor 88 dalam skuad Gergasi Merah sedar saringan awal penting untuk mengesan penyakit kronik seperti barah. Justeru, sebaik disahkan sembuh selepas lima bulan berjuang, beliau mahu mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya membuat pemeriksaan.

Sebagai pemandiri penyakit itu, beliau masak benar penderitaan yang terpaksa dilalui pesakit barah. Perjuangannya panjang dan penuh ranjau yang tidak mungkin berjaya ditempuh tanpa ada sokongan.

Kempen itu turut disambut pengurusan SFC yang sentiasa memberi sokongan ketika Brendan disahkan menghidap barah. Satu langkah berani diambil dengan menampilkan reben solidariti untuk pesakit barah sebagai simbol yang disemat pada jersi tempat lawan.

Dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada 4 Februari lalu, simbol itu ditampilkan di belakang jersi dan didedikasi kepada semua pejuang barah. Setiap RM5 daripada jualan jersi pula disumbangkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kanser Negara.

Begitulah sokongan pengurusan SFC diketuai Tengku Amir Shah. Pada saat Brendan bertarung kesakitan, berseorangan tanpa ahli keluarga, mereka hadir menghulur sokongan tiak berbelah bagi termasuk dengan terus membayar gaji pemain itu dan memantau tahap kesihatannya. Sebahagian rakan sepasukan turut membotak kepala sebagai tanda solidariti.

Kini, Brendan yang menjadikan penyerang Itali Gianfranco Zola sebagai idola, mahu kembali ke padang. Mahu melakukan perkara disukainya, bermain bola sepak. Mengakui sesekali beliau dihimpit kebimbangan atau berasa sedikit sakit, semua itu ditolak tepi.

Ini bukan pertama kali beliau berdepan situasi yang hampir meranapkan kerjayanya. Pada 2015 dan tahun seterusnya, Brendan pernah mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL), perkara paling ditakuti mana-mana pemain profesional.

Namun, kecekalan Brendan menjalani pemulihan di Australia dengan belanja sendiri mengubah segala-galanya. Beliau bangkit, kembali beraksi dengan cemerlang hingga menjadi antara tonggak utama skuad SFC dan Harimau Malaya.

“Saya tidak rasa perlu membuktikan kepada sesiapa sebaliknya diri sendiri selepas melalui pengalaman getir. Saya akan buktikan mampu kembali kuat,” kata pemain kelahiran Australia yang bapanya Michael Eng Seng Gan berasal dari Negeri Sembilan.

Brendan tekad bangkit buat kali ketiga meski cabarannya jauh lebih besar. Beliau mahu kembali ke padang dan menikmati detik-detik indah dengan peminat Gergasi Merah yang sekian lama dahagakan kejayaan.

Beliau mengukuhkan azam mengembalikan senyuman peminat dengan meraih kemenangan demi kemenangan. Paling penting, kembali menyepak bola, sukan yang digemarinya sedari zaman kanak-kanak.


Pengarang :