Datuk DJ Dave meraikan ulang tahun kelahiran bersama golongan kurang bernasib baik pada 15 Februari 2021. Foto Facebook Dave Irwanshah
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

DJ Dave teruja rai ulang tahun kelahiran bersama insan kurang bernasib baik

Oleh Soon Li Wei

PETALING JAYA, 16 MAC: Tanggal 14 Februari adalah hari istimewa buat penghibur terkenal negara, Datuk DJ Dave kerana ia adalah hari ulang tahun kelahirannya dan sejak 50 tahun lalu, beliau meraikannya bersama golongan kurang bernasib baik tanpa mengira kaum.

Tahun ini tiada bezanya.

Meskipun negara masih dibelenggu pandemik Covid-19, penyanyi veteran berusia 74 tahun itu tetap teruja untuk menyambutnya bersama kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) termasuk sindrom down, di samping warga emas di rumah kebajikan.

Sebenarnya ada cerita di sebaliknya mengapa pemilik nama sebenar Irwan Shah Abdullah yang cukup popular dengan lagu ‘Kini Ku Menangis Lagi’, ‘Seruling Kasih’ dan ‘Di Desa Kasih Ku Tertumpah’ ini sangat menghargai golongan OKU, selain anak-anak yatim dan fakir miskin.

Terkesan permintaan peminat 

Berkongsi kisah dengan Bernama, beliau berkata, perjalanan kariernya sebagai seorang anak seni sebenarnya dicetuskan secara tidak sengaja oleh seorang remaja lelaki tempang ketika mendapat jemputan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyanyi sekitar tahun 70an.

“Ketika itu saya bekerja sebagai pegawai pos di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur. Menyanyi masa tu sebagai hobi sahaja, sehinggalah saya dijemput untuk membuat persembahan menyanyi lagu Hindustan di sebuah pusat OKU sekitar tahun 1971.

“Saya didatangi oleh seorang remaja lelaki tempang selepas membuat persembahan dan beliau bertanya kenapa saya tidak menyanyikan lagu dalam Bahasa Melayu kerana dia amat menyukainya (lagu dalam Bahasa Melayu).

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelakon tambahan filem Ali Baba Bujang Lapok Abdul Kadir, 75, (tengah) semasa melawat beliau di rumahnya di Kedai Lalat.Turut hadir Anggota Pemegang Amanah YKAT Datuk Jamaluddin Elias atau Nash (kanan) pada 1 Ogos 2018. Foto BERNAMA

“Saya sangat terkesan dengan permintaannya yang tidak dapat ditunaikan itu kerana saya tidak berapa fasih dalam Bahasa Melayu… sehingga saya tidak boleh tidur pada malam itu because I feel so bad,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-74 di Pusat Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, DJ Dave yang turut terkenal dengan lagu raya antaranya ‘Menjelang Hari Raya’ dan ‘Suara Takbir’ berkata, apabila ditukarkan ke pejabat pos cawangan Seksyen 17, Petaling Jaya, kebetulan ia terletak berdekatan dengan sebuah studio rakaman.

“Ketika itu, ada ‘audition’, saya saja suka-suka untuk mencuba dan memberitahu pengurus studio itu tentang hasrat saya untuk bergelar penyanyi.

“Namun, pengurus itu menolak hasrat saya dengan alasan saya tidak fasih berbahasa Melayu memandangkan saya lulusan sekolah Inggeris. Tambahan pula ketika itu lagu-lagu Melayu merupakan ‘hits’ di radio dan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Belajar Bahasa Melayu 

Bermula daripada saat itu, beliau menyahut cabaran untuk memperbaiki tahap penguasaan Bahasa Melayunya dengan bantuan rakan sekerja.

“Saya melatih diri untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan rakan sekerja dan kami ada satu peraturan yang sangat lucu di mana jika tersasul atau tersilap, setiap orang akan didenda lima sen.

“Pada masa itu, lima sen nilainya sangat besar dan duit itu kami belanja untuk makan roti canai beramai-ramai,” katanya disusuli ketawa besar mengenangkan kenangan lama.

Selepas enam bulan, beliau pergi berjumpa dengan pengurus studio itu semula untuk mencuba nasib dan akhirnya diterima untuk merakamkan empat buah lagu Melayu dalam bentuk piring hitam (EP).

“Saya masih ingat lagi saya menggunakan duit simpanan sendiri untuk membuat EP dan selepas itu kesemua lagu mendapat sambutan ‘hits’ dalam radio, terutamanya ‘Maafkanlah’ yang merupakan lagu Hindustan yang ditulis semula dalam Bahasa Melayu.

“Saya sungguh tidak menyangka permintaan seorang remaja lelaki OKU sebelum ini telah mengubah hidup serta mencetuskan perkembangan karier seni saya sepanjang 50 tahun ini,” katanya, menambah demi peminat beliau sanggup belajar untuk mengukuhkan sebutan Bahasa Melayu.

Hargai golongan kurang bernasib baik 

Bagi bapa kepada tiga orang cahaya mata ini sambutan ulang tahun beliau setiap tahun tidak bermakna tanpa meraikannya dengan golongan OKU yang banyak mengubah perjalanan hidupnya sebagai seorang anak seni.

“Oleh itu, walaupun kita berhadapan dengan zaman pandemik, saya tetap akan meraikannya dengan golongan OKU di samping memberi sumbangan kepada mereka.

“Tahun lepas , saya sempat meraikan hari jadi saya secara maya bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang turut dihadiri oleh Pengerusi Bernama, Datuk Ras Adiba Mohd Radzi,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) juga dikenali dengan sikap pemurah dengan menggunakan masa lapangnya untuk mengesan serta membantu rakan artis yang dalam kesusahan.

“Kami di YKAT sangat komited dalam misi menjaga kebajikan artis veteran, terutamanya bagi artis veteran yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lepas akibat Covid-19.

“Walaupun agak mencabar dan sukar untuk bergerak ketika PKP, namun kami tetap membantu mereka terutamanya yang uzur dan memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan,” katanya.

YKAT mengeluarkan antara RM200,000 hingga RM300,000 setiap tahun bagi membantu penggiat seni sama ada artis lama dan baharu, yang sakit, uzur atau terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Itulah anggaran bantuan yang dihulurkan dalam bentuk kewangan. Kami juga turut memberi pencen bulanan kepada beberapa artis veteran sebanyak RM500, antaranya Allahyarhamah Sharifah Aminah Syed Abdullah dan Allahyarham Yazit Ahmad, ” katanya.

YKAT ditubuhkan kira-kira 10 tahun lepas dan setakat ini membantu lebih 1,500 orang penggiat seni melalui pelbagai inisiatif terutama daripada aspek kewangan.

Rahsia awet muda 

Ditanya mengenai rahsia ‘awet muda’, datuk kepada tujuh orang cucu ini berkata, beliau mengamalkan gaya hidup sihat kerana sebagai penyanyi, adalah penting untuk mempunyai disiplin yang tinggi seperti bangun pagi dan mengamalkan senaman pernafasan untuk menjaga suara.

“Bagi saya, kalau mahu menjadi penyanyi, seseorang perlu ada disiplin, itu paling penting. Saya, sehingga hari ini masih amalkan senaman pernafasan untuk menjaga suara.

“Selain itu, saya juga aktif bersukan seperti bermain badminton, menjaga makan dengan tidak berlebihan dan tidur awal,” katanya.

Sebagai artis veteran juga, beliau percaya bahawa gaya hidup sihat boleh membuatkan seseorang sentiasa bahagia dan berkongsi kegembiraan dengan insan lain.

“Selain itu, saya suka membantu golongan yang memerlukan bantuan, terutamanya anak-anak yatim dan OKU. Apabila saya melihat mereka gembira dan senyum, saya turut bergembira. Itulah kepuasan saya apabila dapat menolong mereka.

“Sebagai seorang penghibur dan artis, kami bukan sahaja memberi hiburan dan kasih sayang kepada semua orang, malah kita juga haruslah menyayangi diri sendiri supaya tidak stres dan ceria.

“Apabila kita ceria, maka orang-orang di sekeliling kita juga akan turut merasai kegembiraan kita itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :