Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Ng Suee Lim bercakap kepada media selepas majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima DNS di Dewan Annex, Shah Alam pada 14 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DNS: Dua ADN antara positif Covid-19, bergejala tidak digalak hadir

SHAH ALAM, 14 MAC: Dua Ahli Dewan Negeri (ADN) antara 11 individu dijangkiti Covid-19 sekali gus tidak dapat menyertai persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Speaker Ng Suee Lim berkata ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah dan ADN Gombak Setia Hilman Idham dikesan positif wabak selepas menjalani saringan Sabtu lalu.

“Mereka kini menjalani kuarantin di rumah,” katanya menambah ujian melibatkan 248 individu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ditemui pada istiadat pembukaan sidang Dewan hari ini, beliau berkata individu bergejala tidak digalakkan hadir dan perlu membuat ujian pantas antigen (RTK-Ag) di rumah.

Sementara itu, Suee Lim berkata perasmian persidangan hari ini berjalan lancar dan berlangsung ringkas susulan kebimbangan penularan Omicron.

“Persidangan esok bermula jam 10 pagi dan perbahasan titah Sultan Selangor diadakan selama dua hari dan dijangka penggulungan pihak kerajaan pada Khamis,” katanya.

Pagi tadi, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan istiadat pembukaan diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.


Pengarang :