Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli bersama Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunaraj bergambar bersama penerima anugerah dan WOW Sentosa sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran WOW Sentosa di Best Western iCity Hotel, Shah Alam pada 26 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Sentosa rai golongan hawa sempena sambutan Hari Wanita

SHAH ALAM, 27 MAC: Kira-kira 70 wanita dewan undangan negeri (DUN) Sentosa diraikan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia Wonderful Women of Sentosa (WOW) semalam.

Wakil rakyat Dr G Gunaraj berkata program diadakan bagi menghargai jasa golongan wanita yang banyak membantu DUN Sentosa dalam pelbagai bidang.

“Kita turut meraikan seorang pendidik iaitu pesara guru besar dan pakar kesihatan yang banyak membantu dan terlibat dalam program anjuran DUN Sentosa selama ini.

“Sehingga kini wanita WOW Sentosa juga telah membantu saya menghulurkan bantuan kepada lebih 500 golongan memerlukan sejak pandemik Covid-19 melanda,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli (tiga, kanan) bersama Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunaraj (dua, kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran WOW Sentosa di Best Western iCity Hotel, Shah Alam pada 26 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia WOW Sentosa di Best Western iCity Hotel di sini semalam.

Turut hadir ahli dewan negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

Sementara itu, Juwairiya turut memuji inisiatif dilaksanakan DUN Sentosa yang melibatkan wanita secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan politik.

“Semoga usaha ini diteruskan dan dapat menjadi contoh buat wanita lain, kita tidak perlu takut untuk ke hadapan sebaliknya perlu membuktikan yang kita juga boleh.

“Saya menggalakkan dan menyeru wanita supaya aktif terlibat dalam program kemasyarakatan dan politik…kita perlu buktikan wanita juga boleh memimpin lelaki selaras dengan tema Hari Wanita tahun ini iaitu ‘Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow’,” katanya.


Pengarang :