Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) menjimatkan masa pengguna yang tidak perlu lagi membeli kupon bergores mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

E-kupon: Pindah segera baki nilai kupon kertas kepada digital

SHAH ALAM, 28 MAC: Pemegang kupon parkir kertas bergores diminta segera memindahkan baki nilai kupon kepada kredit aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang dibuka mulai 26 Mac.

SSP menerusi Facebook memaklumkan penukaran boleh dibuat di lima lokasi terpilih iaitu Kaunter Perbendaharaan Majlis Bandaraya Subang Jaya bagi kupon pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sahaja.

Bagi kupon gores semua PBT pula anda boleh ke Dewan Serbaguna MBSJ SS15, Subang Jaya; Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya dan Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11, Shah Alam.

Selain itu, penukaran juga boleh dibuat di Pejabat Leading Innovative Technologies & System Sdn Bhd (LiTS) juga bagi kupon gores semua PBT.

“Maklumkan kepada rakan-rakan anda mengenai sesi penukaran kupon parkir gores Selangor kepada kredit SSP bermula 26 Mac hingga 30 April mulai jam 10 pagi hingga 4 petang,” kata pengendali aplikasi itu di Facebook rasminya.

Bayaran parkir kereta di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dilaksana secara digital (e-kupon) sepenuhnya mulai 1 April.

Aplikasi SSP boleh dimuat turun di Google Playstore, Appstore atau Huawei store.

Untuk rekod, aplikasi SSP menjimatkan 1,041,221 kilogram kertas sejak diperkenalkan pada 2018. Sehingga kini, SSP mempunyai 1,963,241 pengguna berdaftar.


Pengarang :