Sungai Langat kini berada pada paras berjaga-jaga semasa tinjauan Bernama di kawasan sekitar Dengkil yang terjejas dengan banjir kilat pada 9 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Empat PPS di Petaling masih dibuka kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 9 MAC: Seramai 934 penduduk sekitar Petaling terjejas akibat banjir kilat pada Selasa lalu.

Pegawai daerah Petaling berkata, pihaknya menyediakan empat pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan kesemua mangsa.

“PPS masih dibuka sehingga hari ini walaupun jumlahnya semakin berkurang selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Memandangkan keadaan cuaca ketika ini tidak menentu, kita tetap menyediakan PPS selain meminta semua agensi bersiap siaga,” kata Mohd Jusni Hashim kepada Selangorkini.

Hujan lebat pada petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air antaranya Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang, Kampung Melayu Sungai Serai dan Batu Arang.

Sementara itu, portal bencana Pusat Kawasan Bencana Negara melaporkan setakat jam 8 malam tadi, seramai 241 masih berada di empat PPS di Gombak, Kuala Langat dan Sepang.

Daripada jumlah itu, 82 mangsa berada di Dewan Majlis Perbandaran Selayang, Kampung Melayu Sri Kundang; Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang (48) dan Sekolah Kebangsaan Kota Warisan (111).


Pengarang :