Hee Loy Sian (dua, kiri) meninjau lokasi tebatan banjir di Sungai Sekamat, Kajang pada 25 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Empat sungai di Selangor berstatus bersih, kualiti air patuhi piawai

SHAH ALAM, 23 MAC: Laporan Jabatan Alam Sekitar (Jas) terhadap Indeks Kualiti Air (IKA) melibatkan sungai utama di negeri ini adalah bersih.

EXCO alam sekitar berkata setakat 1 Mac lalu IKA di Lembangan Sungai Selangor adalah 86, Sungai Langat (91), Sungai Tengi (87) dan Sungai Bernam (93).

Manakala lembangan sungai lain, menurut Hee Loy Sian, berada pada tahap sederhana tercemar dengan IKA di antara 62 ke 78.

“Keadaan sumber air ini mampu dirawat oleh kesemua 34 loji rawatan air (LRA) di Selangor dengan mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan ditetapkan Kementerian Kesihatan sebelum diagihkan kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Sungai Selangor dan Sungai Langat berdepan risiko tercemar serta mengandungi bahan kimia seperti dilaporkan media tempatan pada 21 dan 22 Mac lalu.

Loy Sian berkata Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa memberi tumpuan dalam aspek kawalan pencemaran dan pemuliharaan kualiti sumber air bagi memastikannya sentiasa bersih dan selamat.

“Tidak dinafikan pencemaran sumber air boleh berlaku pada waktu tidak dijangka. Justeru dengan penubuhan Skuad Pantas LUAS bermula pada 1 Disember 2020 berjaya mengekang jumlah isu kecemasan pencemaran sungai daripada terus meningkat.

“Berdasarkan rekod pemantauan tahun lalu, henti tugas LRA akibat daripada isu kecemasan pencemaran sumber air (Kod Merah) berjaya dikurangkan dengan hanya dua isu sahaja di Sungai Semenyih pada tahun lalu berbanding 11 isu henti tugas LRA pada 2020,” katanya.


Pengarang :