Lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang ketika tinjauan pada 11 Mac 2022. Foto BERNAMA.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: 48 cerun di Ampang Jaya dibaik pulih, anggaran kos RM100 juta

SHAH ALAM, 18 MAC: Sebanyak 48 cerun daripada 118 cerun di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diklasifikasikan sebagai sangat kritikal.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kos mengukuhkan cerun terbabit dianggarkan berjumlah RM100 juta, namun jumlah sebenar bergantung kajian lanjut pakar seperti Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) memohon kerjasama daripada Ikram untuk melaksanakan kajian dan pembaikan lanjut cerun dalam kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata PBT terbabit sedang melaksanakan lantikan panel kontraktor penyelenggaraan cerun kategori sangat bahaya.

“Langkah ini supaya tindakan awal penjagaan cerun dapat dilaksanakan dan sebarang tanda awal kegagalan cerun diambil tindakan,” katanya lagi.

Kelmarin, wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki membangkitkan isu perubahan iklim yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang.

Insiden pada 10 Mac itu meragut empat nyawa, seorang cedera ringan selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

 


Pengarang :