EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex pada 15 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

EXCO: Jelajah Selangor Bekerja bantu turun jumlah pengangguran

SHAH ALAM, 15 MAC: Kadar pengangguran di Selangor menurun kepada 105,300 orang atau 2.9 peratus pada suku keempat 2021 berbanding 132,000 pada suku ketiga tahun sama.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata situasi itu meletakkan negeri ini pada kedudukan kedua terbaik dalam kawalan pengangguran negara di belakang Putrajaya yang mencatat 1.6 peratus.

Beliau memaklumkan perkembangan itu didorong penganjuran Jelajah Selangor Bekerja di Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Sungai Buloh sepanjang tahun lalu.

“Kadar pengangguran di Selangor menunjukkan kadar terendah antara negeri-negeri lain. Ini keadaan yang sangat baik,” katanya menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan menganjurkan program Karnival Kerjaya skala lebih besar pada Jun depan dengan 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan membabitkan penyertaan lebih 50 majikan dalam semua sektor.

“Program ini adalah inisiatif untuk Kerajaan Negeri menyediakan platform kepada masyarakat mendapatkan pekerjaan bagi mengatasi kadar pengangguran di Selangor.

“Ia juga selaras dengan permintaan tinggi dan menunjukkan sambutan menggalakkan berikutan kadar kehilangan kerja tinggi atas faktor Pandemik Covid-19,” katanya.

 


Pengarang :